January 24, 2022

PRN Johor 2022 - pilihan bagi Bersatu JB

thumb_1

Bersatu JB ditubuhkan pada tahun 2016. Di rumah mantan Ketua Bahagian Penaja Cikgu Zais, 44 Jalan Rajawali Larkin , Johor Bahru, merupakan bahagian pertama di dalam
Malaysia diumumkan oleh Presiden Parti Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini adalah sejarah. Dalam dunia politik, Bersatu adalah parti baru.

PRU 14 menang dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) . Sentimen nasional isu GST, Rosmah dan 1MDB menyebabkan swing votes seluruh negara.

Parti pembangkang selama ini seperti PKR dan DAP buat pertama kali menjadi kerajaan selepas Bersatu berjuang bersama mereka.

Tetapi Pakatan Harapan jatuh tidak sampai sepenggal memerintah. Bersatu kembali bersama UMNO, kemudian kita juga memberikan kuasa semula kepada UMNO. Sekarang pilihanraya kembali ke negeri Johor. Bersatu telah kalah di PRN dan beberapa pilihanraya kecil sebelum ini dalam penggal yang sama.

Cabaran bagi Bersatu adalah untuk memilih calon di Johor. Faktor kesukaan, pencabar, ‘team dia atau team aku’ pasti menjadi penyebab, sama dalam semua parti politik. Ini biasa.

UMNO dipimpin oleh mereka yang mempunyai akar umbi. Pemimpin mereka muncul, lahir dan naik dari peringkat cawangan , bahagian , negeri dan seterusnya pusat apabila kuat dan menang di pemilihan. Nadi akar umbi sampai ke kepimpinan atasan. Calon yang boleh memberi kemenangan sahaja ditampilkan.

Cabaran bagi Bersatu Johor adalah ditadbir oleh mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan tiada pengaruh akar umbi. Semuanya baru dan sama tahap politik. Ini bukan masalah , tetapi cabaran bagi parti yang baru. Ia tidak sama dengan UMNO di mana pemilihan jawatan untuk gerak kerja di peringkat bahagian, negeri mahupun pusat diambil kira melalui merit kemenangan dan sokongan dari akar umbi. Jadi mereka mempunyai kekuatan untuk command dan kekuatan jentera ataupun ahli-ahli. Ini tidak berlaku di Bersatu Johor, jadi ia sangatlah mencabar bagi kepimpinan akar umbi di bawah untuk menyuarakan hasrat dan masalah kerana yang di atas tidak pernah melalui apa yang akar umbi perlukan.

Sekarang boleh dikatakan sudah terlewat untuk memperbetulkan semuanya. Esok nak pilihanraya, hari ini baru mahu turun melihat akar umbi. Nak melihat bahagian. Apa yang akan terjadi ialah, persembahan palsu “fake show” akan dipersembahkan kepada kepimpinan untuk menunjukkan tahap siap sedia kepada pucuk pimpinan dalam beberapa minggu ini. Supaya dana pilihanraya boleh disalurkan. Segala masalah dan laporan sebelum ini untuk memperelok masalah-masalah bahagian tidak diambil peduli dan diselesaikan.

Cukuplah asyik complaint sahaja, orang pun tak suka nanti, walaupun kita telah menggerakkan Bersatu JB dari 2016. Jadi apa yang boleh dibuat sekarang ? Apakah solusinya ? Untuk Bersatu menang di saat-saat akhir ini , supaya tidak karam di Johor dan hilang diseluruh negara.

Cadangan peribadi dari saya, seorang TKB kerdil yang tiada apa-apa jawatan berpengaruh, ialah Bersatu wajib mempunyai kerjasama atau pakatan yang khas, mungkin hanya untuk PRN di Johor ini dahulu. Kita tidak boleh seorang diri.

PAS tidak signifikan di Johor (sebab itu UMNO Johor pun berani declare bergerak seorang diri), namun ahli-ahli PAS mungkin boleh memberi kita undi. Pada perjumpaan saya bersama kepimpinan PAS JB, mereka juga masih ternanti-nanti dari kepimpinan mereka sama ada untuk bersama MN atau PN di Johor. Kita tidak boleh salahkan PAS, sebab mereka juga punyai risiko untuk memilih rakan. GERAKAN pula tiada akar umbi di negeri ini , dan juga boleh dikatakan di seluruh Malaysia pun. Jadi, Bersatu mesti bersama PH. Untuk kembali menjadi kerajaan negeri dan seterusnya momentum untuk ke PRU15.

Contoh mudah di Larkin dan Stulang Laut. Dua kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen JB. Kemenangan Bersatu di DUN Larkin pada PRU14 adalah sumbangan solid daripada pengundi bukan Melayu. Orang Melayu Larkin hanya menyumbang 30% kepada Bersatu di waktu itu. Pola penduduk Larkin adalah 64% Melayu dan selebihnya Cina dan lain-lain bangsa. Undi majoriti kaum Melayu masih lagi ke UMNO pada PRU14 di Larkin.

Jika Bersatu keseorangan di PRN ini, dengan kehadiran parti Melayu lain yang baru seperti Pejuang, MUDA, ditambah pula dengan peratusan keluar undi yang kurang, maka UMNO atau PH akan menang di Larkin. Manakala DUN Stulang Laut kita perlu akui akan kekal pada DAP untuk kali ke 3 kerana pola penduduk bukan Melayu adalah majoriti di sana.

Untuk calon, pilihlah yang terbukti mempunyai akar umbi. Apakah indicator akar umbi dalam parti politik negara ? Mempunyai ahli-ahli di cawangan yang sah dan tertubuh. Mereka inilah jentera parti yang terbukti setia. Itulah indicator yang diguna pakai UMNO. Ketua PDM adalah ketua cawangannya. Tetapi di Bersatu JB sebaliknya pula yang berlaku. Ketua PDM merupakan orang lain jika Ketua Cawangan di situ tidak di dalam pasukan Ketua Bahagian.

Untuk rekod, Mesyuarat Agong Bersatu JB baru-baru ini, kurang dari 14 cawangan hadir di Bersatu Johor Bahru. Cawangan yang diwar-warkan kepada kepimpinan atasan bahawa telah ditubuhkan dengan banyak, sebenarnya ‘tidak berpenghuni’. Jadi pihak kepimpinan negeri hendaklah sedar akan masalah ini. Jika cawangan pun tidak boleh ditubuhkan, bagaimana ingin memimpin PDM dalam waktu yang singkat ?

Tolong ambil kira dari semua peringkat bagi menentukan pemilihan calon DUN kali ini. Ini adalah pendapat peribadi yang sayangkan parti. Mungkin saya tidak mahir, mungkin formula hebat dan kemenangan dari kepimpinan atasan lebih betul. Namun, saya sebagai pemimpin bawahan ingin juga menyampaikan pandangan sebelum ianya terlambat . Jangan ulangi perkara yang kita telah terbukti kalah sebelum ini. Untuk mendapat keputusan baru, tindakan dan pimpinan baru harus dimulakan.

Tidak perlu persoal akan semangat. Kita di sini sebelum kemenangan Bersatu lagi . 2016. Jadi kita berhak bersuara demi parti keramat kita. InsyaAllah.

“ubat pahit, gula manis tetapi berpenyakit”.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru