August 16, 2021

Pengasas Bersatu

1. Dua pengasas kita telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Juga mencipta sejarah parti baru yang mempunyai dua Perdana Menteri, walaupun tak sampai sepenggal. Hebat Bersatu.

2. Tun Mahathir & Tan Sri Muhyiddin sudah di puncak karier politik mereka apabila berada di Bersatu. Sudah tentu pengorbanan mereka di dalam dunia politik, wajar apabila mereka mencapai kerusi Perdana Menteri. Tidak boleh dipersoalkan itu. Walaupun akhirnya mereka menjadi seteru dalam politik (Bersatu vs Pejuang)

3. Apakah yang akan terjadi kepada Bersatu sekarang ? Kepada siapakah akar umbi ingin berpaut ?

4. Apabila Bersatu mempunyai ‘peluru’, kepimpinan gagal memperkasakan akar umbi. Tiada usaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan tahap kepimpinan pemimpin pelapis dari MPT, bahagian , armada dan srikandi di bawah. Tidak dipedulikan bantuan dari bentuk material dan pendidikan kepimpinan.

5. Apabila Bersatu mengetuai kerajaan, kepimpinan juga gagal melemahkan musuh. Bahkan memberi kekuatan kepada musuh. Walaupun musuh berasak bertubi-tubi, namun kita masih berbaik. Walaupun mereka gulingkan kita di Perak, mereka melantik pentadbiran kerajaan tempatan seperti ketua kampung dan sebagainya tanpa memberikan kepada kita langsung di Johor, tetapi Bersatu semacam redha dan mengharapkan musuh ini terus mengenang jasa kita.

6. Di dalam Bersatu sendiri juga berlaku permusuhan sesama sendiri. Tahap permusuhan saudara ini hingga ingin matikan terus pihak yang tidak bersetuju dengan kita. Tiada usaha untuk menyatukan perbezaan pendapat ini. Yang ada kuasa menganggap mereka yang tidak bersetuju, harus dibuang. Ini melemahkan parti.

7. Bersatu masih disayangi rakyat. Harapan sebahagian besar orang Melayu. Kita masih ada akar umbi. Masih ada pejuang-pejuang asal di akar umbi. Walaupun mereka kalah di pemilihan, jangan kita hina dan mensia-siakan kekuatan mereka. Jangan kita lupa diri apabila kita ada kuasa. Kita semua menjayakan Bersatu dari PRU14. Dalam politik, kita kuat dan berjaya adalah kerana sokongan akar umbi.

8. Adakah Bersatu mampu mengubah semua ini dan belajar dari episod 2 kali pemimpin utama digulingkan? Kami di bawah hanya boleh menyuarakan, pemimpin-pemimpin ‘besar’ Bersatu tolong sedar sebelum terus kita karam bersama.

Bersatu 2016

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru