June 23, 2021

Ketua Harus Menyatukan

thumb_1

1. Ramai yang menghubungi dan bertanya berkenaan isu Srikandi Bersatu Bahagian Johor Bahru. Sebagai Timbalan Ketua Bahagian PPBM Johor Bahru, saya merasakan bahawa ini merupakan satu perjalanan politik di mana ada ketika kita sentiasa diperhatikan oleh ahli-ahli sehingga terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi samaada baik mahupun sebaliknya.
 
2. Isu ini tidak seharusnya diperbesarkan kerana ia hanyalah satu perbezaan pendapat dalam sebuah keluarga namun bila mana kita kini berada di zaman digital sememangnya berita sensasi amat mudah tular di media massa.  
 
3. Adalah menjadi satu kewajipan keatas barisan kepimpinan bahagian untuk memainkan peranan dengan mengambil inisiatif segera bagi menyelesaikan kemelut dalaman bahagian agar tidak menjadi lebih parah sehingga menjadikan parti ini tidak mendapat kepercayaan masyarakat khususnya ahli-ahli parti.
 
4. Apabila suara-suara mereka yang menang dalam pemilihan parti yang lalu menyuarakan sesuatu pandangan dan cadangan kepada kepimpinan dan pihak kepimpinan hanya mengambil sikap acuh tak acuh, sudah pastilah ketidakpuasan hati berlaku walaupun telah di sampaikan melalui saluran yang betul.
 
5. Ketua Srikandi bahagian Johor Bahru, Datuk Hjh Azlinda adalah rakan seperjuangan saya dari awal Bersatu ditubuhkan. Tidak di nafikan beliau rajin bekerja dan mempunyai semangat kesukarelawan yang kuat untuk parti.
 
6. Kini beliau memegang jawatan yang agak penting iaitu Ketua Srikandi Negeri Johor dan juga sebagai Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri. Sudah pasti sebagai seorang isteri dan ibu yang berkerjaya, saya dapat bayangkan tekanan kerja dan key performance index yang tinggi kepada beliau. Kita seharusnya membantu serta memberikan komitmen yang sewajarnya seperti kerjasama yang telah diberikan ketika penubuhan parti yang lalu.
 
 
7. Pentadbiran di peringkat bahagian harus lebih peka di dalam menguruskan hal ehwal parti dengan mengambil langkah yang sesuai supaya berlaku lebih adil kepada ahli akar umbi yang menyokong parti. Jangan hanya menjanjikan kebaikan kepada ahli apabila menghadapi waktu pemilihan. Penyatuan harus diusahakan dengan berterusan dan bersungguh-sungguh. Ini adalah peranan pemimpin atasan termasuk seluruh kepimpinan jawatankuasa bahagian.
 
8. Pandangan dan cadangan oleh ahli akar umbi jangan sesekali di abaikan. Suara mereka juga dikira sebagai suara keramat dalam menentukan kestabilan parti. Maka di sinilah seni politik pentadbiran dapat direalisasikan. Bak kata pepatah Melayu seperti “Menarik rambut di dalam tepung”. Sebagai pemimpin yang dipilih mahupun dilantik, sikap tolenransi dan “Give and Take” amat perlu dipraktikan.
 
9. Saya amat yakin sekiranya pucuk kepimpinan bahagian dapat melaksanakan tanggungjawab serta langkah-langkah yang positif di dalam pengurusan parti, sudah pasti tidak berlaku krisis dalaman di bahagian.
 
10. Apa yang penting adalah pemuafakatan di kalangan ahli boleh melambangkan kejayaan sesebuah organisasi.

BERSATU BERAMANAH BERMARUAH
 
RAZRUL ANWAR RUSLI
TIMBALAN KETUA BAHAGIAN
PPBM JOHOR BAHRU.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru