September 2, 2022

Merdekakan Pendidikan dan Ekonomi Malaysia

thumb_1

TANGGAL 31 Ogos adalah detik sangat bermakna kepada rakyat Malaysia. Itulah detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Ramai yang telah berjuang dan berkorban mempertahankan maruah negara, malah ada sanggup bergadai nyawa demi tanah air tercinta.

Mereka adalah hero dan pahlawan sebenar yang sepatutnya diingati oleh rakyat Malaysia kerana tanpa pengorbanan mereka, mustahil negara akan aman makmur seperti dinikmati sekarang.

Sambutan Hari Kebangsaan bukanlah dengan mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi pada masa sama hargailah dan kenanglah jasa-jasa pejuang kemerdekaan dahulu.

Besarnya pengorbanan yang mereka lakukan kerana dengan perjuangan itulah, perpaduan antara kaum, bangsa serta agama dapat ‘bersatu’di bawah satu negara. Kita dapat mencari rezeki, bebas ke sana ke mari dan bersama keluarga, itulah nikmat kehidupan di bumi Malaysia kerana pengorbanan perwira-perwira kita dahulu.

Perkara-perkara yang mencetuskan provokasi dan kontroversi yang boleh mengeruhkan kedamaian serta keharmonian negara harus dielak. Contoh kejadian yang tidak patut berlaku seperti tindakan seorang wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi wajib dielakkan. Termasuk juga jika ada anasir menghina agama serta budaya bangsa lain.

Jangan menganggap orang Melayu yang lemah lembut dan bertoleransi boleh bersabar lama di dalam provokasi sedemikian rupa. Jangan ada di kalangan rakyat Malaysia dengan  sengaja membuat provokasi semata-mata untuk meraih like atau jumlah tontonan tinggi di media sosial. 

Semangat merdeka, perpaduan dan cintakan negara perlu disemat dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia. Dalam hal ini, pendidikan dilihat terbukti sebagai faktor pertama yang boleh memainkan peranan tersebut bagi memastikan nilai-nilai murni dan perpaduan itu diangkat kembali untuk disuburkan. Sekolah-sekolah rendah atau sekolah menengah tidak patut diasingkan. Satu sistem pembelajaran seperti yang sedia ada iaitu sekolah kebangsaan perlu dimantapkan dan diperluas, atau sekolah wawasan yang pernah disarankan patut dilaksanakan segera supaya jurang bahasa, budaya dan integrasi antara kaum jauh melebar. Cara terbaik penyatuan dan memahami budaya adalah diusia anak-anak bergaul.

Selain itu, kita semua harus memainkan peranan penting untuk keharmonian dalam negara terutamanya di dalam pengagihan kekayaan serta kek ekonomi negara. Kerajaan mesti bersungguh-sungguh mengguna pakai pendekatan atau model Kemakmuran Bersama. Pendekatan itu ialah meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan monopoli rantaian bekalan yang melampau.

Bagi mencapai matlamat kemakmuran itu, antara yang perlu dilaksanakan termasuk penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara, meneroka sektor pertumbuhan baharu, memanfaatkan reformasi bakat dan sumber tenaga negara, memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.


Kemudian, penanda aras di atas mesti disemak selalu serta dinilai dengan apa yang dimiliki rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain, terutamanya bagi golongan Bumiputera.

Apabila jurang pendapatan dapat dikecilkan, maka semua rakyat berasa bahagia dan masalah sosial akan dibendung. Potensi berlakunya rusuhan atau sentimen 'benci orang kaya' juga dapat dielakkan. Ini secara tidak langsung menjamin kestabilan negara untuk ekonomi berkembang dengan lebih jauh lagi.

Selain rakyat yang perlu berkorban dan bekerja keras untuk mencapai perkara-perkara di atas, pemimpin-pemimpin politik wajib mendahului agenda baik tersebut. Jangan terlalu memainkan isu perkauman.

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-65. Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru