June 11, 2021

Lepas PRU15 pun, senario politik tetap sama jika kita tidak berubah

thumb_1

UMNO berharap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk cepat melakukan Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15). Mereka masih di awangan lama untuk berkuasa sepenuhnya – yakin akan kembali ke zaman kegemilangan dulu. Berkuasa tanpa had. Tidak berkongsi. Orang lain yang perlu tunduk kepada kuasa dominan mereka.

Namun pemimpin-pemimpin UMNO lama ini lupa, bahawa zaman telah berubah. PRU15 ini ada banyak parti-parti kecil yang akan bertanding, termasuk mereka juga akan menjadi kecil. Melayu berpecah kepada banyak parti. Belum lagi dikira Pejuang dan MUDA (diasas oleh orang Melayu sendiri).  Tiada lagi dominan parti. Mungkin akan ada yang menang di antara parti-parti kecil ini, tetapi ia sukar membentuk kerajaan. Mereka akan menjadi kerajaan yang mempunyai majoriti yang tipis. Sama seperti sekarang.

Negara mempunyai kerajaan minoriti. Buruk kepada rakyat kerana tiada kestabilan. Jadi yang menang terpaksa mencari kawan. Mungkin kawan itu daripada pihak yang kini bukan di pihak ‘kawan’. Benar di dalam politik, tiada musuh dan kawan selamanya. Inilah yang akan terjadi pada PRU15 akan datang.

UMNO berangan untuk mendapat 80 kerusi dan menang. Tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka sendiri mempunyai krisis dalaman. UMNO berpecah. Ugut-ugut nak keluar PN, tetapi sampai sekarang masih belum berani ‘menghilangkan jawatan sendiri’.

Empat kumpulan dalam UMNO kini, geng yang bersama BERSATU, geng Zahid, geng Hishamuddin yang dikatakan tidak ramai dan akhir sekali geng Mat Hassan yang dikatakan bersih. Dengan perpecahan ini, UMNO tidak akan memperoleh kemenangan yang cukup untuk membentuk kerajaan. Pastinya di antara mereka akan ada sabotaj sesama mereka. Akhirnya UMNO akan menawarkan jawatan itu dan ini kepada sesiapa sahaja, mungkin wakil rakyat  PKR atau DAP yang menang bagi membentuk kerajaan. Tiada yang mustahil dalam politik.

Ada pendapat mengatakan bahawa apabila kerajaan lama bertukar ke kerajaan baru, ia akan kembali ke kerajaan lama. Banyak di dalam sejarah negara-negara luar seperti ini. Contoh paling senang Mesir, apabila Arab Spring berlaku, kerajaan baru naik, tetapi sekejap sahaja digulingkan semula. Jadi adakah bermakna UMNO akan kembali berkuasa ? Soalan perlu ditanya kepada rakyat Malaysia jika mereka akan memaafkan UMNO dengan segala kes rasuah atau melupakan skandal bekas Presidennya; Najib. Najib yang digelar Destroyer of UMNO oleh orang yang paling bertanggungjawab menjatuhkannya, Tun Mahathir, kini mendapat populariti di sosial media dengan menghentam kerajaannya sendiri, PN.

Adakah rakyat lupa UMNO dikenali sebagai parti yang cukup rasuah. Tidak semua, tetapi banyak. Kluster mahkamah menggunakan UMNO untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.

Adakah rakyat Malaysia sanggup melupakan semua ini dan kembali memilih kuasa yang telah lama berakar umbi di dalam masyarakat Melayu khususnya ?

Masanya muka baru diketengahkan pada PRU15 nanti. ‘Parti-parti kecil’ semua rehatkan lah otai politik. Mereka yang sudah 20-30 tahun di dalam politik, rehatkan. Negara perlu fresh start. Tak kira dari parti mana pun termasuk UMNO, DAP, PKR, BERSATU dan lain-lain. Pemimpin era baru tidak membawa beban atau legasi lama. Tiada dendam lama. Lebih terbuka kepada bentuk jajaran atau kerjasama baru. Pemikiran dan corak pentadbiran baru diperlukan. Kestabilan dikalangan wakil-wakil rakyat baru adalah sangat perlu untuk negara kita bergerak ke hadapan.

Pastinya cadangan ini tidak akan disenangi oleh mereka yang mempunyai kuasa atau sudah terbiasa dengan kuasa. Kalau kita sayangkan anak-anak dan masa depan negara, sekarang masa untuk bertindak. Parti kerajaan atau pembangkang, harus bersama di dalam memajukan semula negara tercinta ini – pasca Covid19.

Tiada yang mustahil, hanya ada kita yang berputus asa.

Razrul Anwar Rusli

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru