December 26, 2021

Indonesia bakal menjadi 10 kuasa ekonomi terbesar dunia, manakala Malaysia asyik dengan sosial media

thumb_1

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia – sebuah negara yang mempunyai beribu pulau dengan lebih daripada 300 kumpulan etnik – telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak mengatasi krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an.

Ini meletakkan negara itu di landasan yang betul untuk menjadi negara kuasa ekonomi yang ke 9 terbesar di dunia pada tahun 2034.

Hari ini, Indonesia ialah negara keempat mempunyai kepadatan penduduk di dunia, ekonomi ke-10 terbesar dunia dari segi kuasa beli, dan merupakan ahli G-20 (Negara-negara Kumpulan 20 ini termasuk kesatuan Eropah yang meliputi sektor ekonomi, kewangan, iklim dan isu kritikal global). Tambahan pula, Indonesia telah berjaya membuat pengurangan besar dalam membasmi kemiskinan, lebih separuh sejak 1999, kepada hanya di bawah 10 peratus pada 2020.

Perancangan ekonomi Indonesia mengikut tepat wawasan pembangunan mereka selama 20 tahun, yang bermula dari tahun 2005 hingga ke tahun 2025. Ia dibahagikan kepada rancangan pembangunan jangka sederhana 5 tahun yang dipanggil RPJMN (Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional), masing-masing dengan keutamaan pembangunan yang berbeza. Rancangan pembangunan jangka sederhana semasa adalah fasa terakhir rancangan jangka panjang. Ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi ekonomi Indonesia dengan meningkatkan modal insan negara itu dan daya saing di dalam pasaran global.


(pengalaman semasa di Indonesia 2010 - 2015)

Namun dengan pandemik Covid19, ia telah merencatkan sedikit usaha Indonesia menepati sasarannya. Akibat dari wabak itu, Indonesia bertukar daripada negara yang berpendapatan sederhana atas kepada status berpendapatan sederhana rendah pada bulan Julai 2021. Pandemik itu juga menyekat pencapaian Indonesia dalam mengurangkan kadar kemiskinannya, daripada rekod terendah 9.2 peratus pada September 2019 kepada 10.4 peratus pada Mac 2021. (Sumber Bank Dunia)

Dalam perkara yang berkaitan, pengeluaran ekonomi dunia akan melebihi $100 trilion buat kali pertama pada tahun depan, 2022. Agak kecewa sedikit bagi China kerana cita-cita besar mereka belum boleh untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi nombor satu dunia. Ini disebabkan oleh wabak Covid19 menurut laporan syarikat konsultan British, Cebr.

Satu lagi gergasi ekonomi Asia, India kelihatan bersedia untuk memintas negara kesatuan Eropah, Perancis tahun depan dan kemudian India akan memintas bekas kuasa kolonialnya, Britain pada 2023 untuk mendapatkan semula kedudukannya sebagai ekonomi keenam terbesar dunia, menurut laporan Cebr itu lagi.

Laporan juga menyatakan isu  terpenting untuk tahun 2020-an ialah bagaimana ekonomi dunia menghadapi inflasi, yang kini telah mencapai 6.8% di A.S. Wang bernilai besar tetapi hanya boleh beli sedikit sahaja kerana harga melambung tinggi.

Selain itu, Jerman kini berada di landasan yang tepat untuk memintas Jepun dari segi pengeluaran ekonomi pada tahun 2033. Rusia berkemungkinan menjadi kuasa 10 ekonomi teratas menjelang 2036 dan Indonesia, seperti kajian di atas, berada di landasan yang betul untuk tempat kesembilan pada 2034.

Bagaimana dengan negara kita ? Pemimpin dan ahli politik yang memegang kuasa perlu segera membina wawasan dan infrastruktur negara. Kini dilihat pemimpin negara banyak bermain sosial media untuk meraih sokongan atau membetulkan tohmahan.

Bagaimana pula peranan kita sebagai rakyat yang cintakan negara ? Kita juga perlu kurangkan bermain tular sosial media yang boleh memburukkan lagi keadaan. Perkara negatif ke atas situasi atau seseorang apabila disebarkan bukanlah satu kejayaan bagi kita, tetapi akan meruntuhkan lagi seluruh semangat positif di dalam negara. Rakyat Malaysia harus bijak mengawal sentimen dan bersama-sama bertanggungjawab membina imej yang baik untuk negara di mata dunia.

Apabila CEO Apple, Tim Cook ingin memberi bantuan dan sumbangan pada mangsa banjir dalam bentuk pemulihan jangka masa pendek dan panjang, segelintir rakyat Malaysia yang tidak bertanggunjawab memberi komen di kenyataan twitter itu untuk memalukan kerajaan supaya bantuan itu dihantar hanya melalui NGO sahaja, bukan kerajaan. Kononnya kerajaan akan salah guna wang tersebut atau lambat bertindak ? Ini adalah budaya rakyat Malaysia di internet yang tidak bertanggungjawab.


(Antara komen rakyat Malaysia yang memalukan negaranya sendiri)


(Antara komen rakyat Malaysia yang memalukan negaranya sendiri)


(Antara komen rakyat Malaysia yang memalukan negaranya sendiri)small>


(Antara komen rakyat Malaysia yang memalukan negaranya sendiri)

Adakah kita sebagai rakyat Malaysia sedar implikasi ini ? Ia membawa kesan buruk kepada pelabur asing, mungkin mereka tidak akan berminat untuk berurusan dan berniaga di dalam negara kita. Peluang pekerjaan akan kurang, pemindahan ekonomi dan teknologi tidak berlaku, negara akan mundur dan rakyat menjadi pekerja berpendapatan rendah.

Adakah ini yang kita mahu ? Mungkin kita puas hati sebab marah kepada kerajaan atau sesetengah orang politik. Tetapi jangka panjang dan peluang kepada anak-anak kita di masa hadapan ?

Rakyat Malaysia wajar rasional dengan apa yang mereka komen dan luahkan di sosial media. Komen kita melambangkan tahap pemikiran kita. Jangan kerana nyamuk, rumah dibakar.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru