September 10, 2021

Harapan dan komitmen untuk Bersatu di Ulang Tahun yang ke 5

thumb_1

1. Bersatu adalah parti politik pertama saya. Faktor terbesar saya bersama Bersatu adalah kerana ingin bersama berjuang dengan idola sejak dari kecil iaitu negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad.

2. Kebetulan, Bahagian Bersatu yang pertama ditubuhkan di Malaysia adalah di Johor Bahru yang diumumkan sendiri oleh Presiden Parti, bekas Perdana Menteri ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau mempelawa bekas Ketua Bahagian Penaja Bersatu Johor Bahru yang pertama, Cikgu Zais Akil untuk mengetuai barisan penaja akar umbi di Johor Bahru.

3. Dari situ saya dilantik sebagai Bendahari bahagian dan tidak lama selepas itu Timbalan Ketua Bahagian Penaja dan seterusnya menang jawatan yang sama semasa pemilihan parti yang pertama. Saya tidak langsung memahami apa itu jawatan di dalam parti, apa faedah dan kepentingannya. Tetapi yang saya tahu di waktu itu ialah membantu parti untuk menang di pilihanraya dan menewaskan Barisan Nasional. Berulang-alik dari KL - JB sejak 2008 lagi kerana bekerja, tetapi lebih kerap di tahun 2016 apabila parti baru ditubuhkan. Bekerja masih di KL. Hari minggu pulang ke JB untuk 'berparti politik'. Hingga sekarang..

4. Apa yang diharapkan dan akan terus komited berusaha untuk Bersatu bersempena ulang tahun yang 5 ini ialah supaya :

  • pemimpin dari Bersatu dapat menzahirkan dan mengetuai wawasan kerajaan untuk memastikan kemajuan negara bagi menjamin masa depan generasi kecil dan akan datang.
  • menjadi parti yang penting di dalam politik tanahair bagi kestabilan dan arah tuju negara.
  • membuka ruang yang luas kepada pemimpin pelapis untuk mencurahkan kudrat dan idea mereka di dalam memperkasakan parti dan negara
  • mengutamakan pembangunan ekonomi kaum Melayu dan pribumi, bagi memastikan keseimbangan kekayaan negara yang sama rata, seterusnya menjamin keharmonian kaum kerana semua dapat merasai 'manisnya' kemakmuran negara.
  • berusaha membantu negara supaya melahirkan rakyat yang berpendidikan, berpendapatan tinggi dan mampu membantu negara-negara lain. Bukan menanam tradisi bahawa rakyat harus menerima bantuan semata-mata. Pemimpin wajib meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya.
  • pemimpin Bersatu harus memainkan peranan yang signifikan di dalam mengembalikan reputasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Supaya dihormati dan disegani. Ini membolehkan anak bangsa mudah berurusan, dipandang tinggi dan 'diingini' apabila meneroka pasaran global.

5. Diharap cita-cita dan usaha ini membuahkan hasil. Kita telah bersama selama 5 tahun. Ayuh terus mengorak langkah demi tanahair dan anak-anak yang kita cintai. InsyaAllah

6. Selamat Ulang Tahun yang ke 5 Bersatu.

"Bukan taksub pada parti, tetapi berkhidmat untuk negara"

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru