E-wallet adalah masa hadapan
Sejak virus COVID-19 melanda negara dan menular sebagai wabak pandemik, masyarakat lebih banyak melakukan transaksi atas talian untuk membeli belah, urusan perbankan, pengurusan mesyuarat agensi, membayar bil utiliti, sesi pembelajaran dan pelbagai lagi.
Selain itu, masyarakat juga mula cenderung menggunakan e-wallet iaitu salah satu inisiatif pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas. E-wallet berfungsi seperti dompet fizikal iaitu menyimpan wang, kad debit, kad kredit dan maklumat akaun bank kita dalam satu aplikasi. Secara ringkasnya, e-wallet bertujuan untuk menggantikan dompet fizikal supaya kita tidak perlu membawa dompet atau beg tangan ke mana-mana.
Dengan adanya pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan yang memasukkan bantuan tunai ke dalam e-wallet, maka semakin ramai Malaysia yang semakin celik tentang e-dompet ini dan mula memilikinya. Antara e-wallet yang terbesar dan memiliki pengguna terbesar di Malaysia ialah :
Boost
- Disokong oleh Kumpulan Axiata
- Merupakan perintis di dalam pasaran e-dompet di Malaysia
- Diterima oleh peniaga UnionPay QR
- Pelbagai program yang menawarkan Hadiah dan Cashback
GrabPay
- Disokong oleh Grab
- Memanfaatkan ekosistem Grab seperti GrabFood, GrabRide dan perkhidmatan lain yang berkaitan
- Usahasama dengan Maybank untuk kegunaan pelbagai platform
- Perolehi Mata Ganjaran GrabRewards untuk setiap transaksi
Touch ‘n Go E-Wallet
- Disokong oleh Alipay dan Touch ‘n Go
- Mempunyai jutaan pelanggan kad Touch ‘n Go sedia ada
- PayDirect: hubungkan kad Touch ‘n Go dan bayar tol secara terus menggunakan baki e-dompet anda di lebuhraya terpilih
- Jaminan wang dikembalikan: bayaran balik sepenuhnya dalam masa lima hari bekerja sekiranya e-dompet anda tersalah caj
Antara kelebihan yang ada apabila masyarakat menggunakan e-wallet ialah :
- Perbelanjaan Direkodkan
Anda tidak perlu risau memikirkan ke mana duit dibelanjakan kerana dengan penggunaan aplikasi ini anda boleh menjejak sejarah perbelanjaan dan transaksi yang dilakukan oleh anda menerusi aplikasi e-dompet. - Menjimatkan Masa
Beratur panjang di plaza tol dan kedai boleh dielakkan dengan penggunaan aplikasi e-dompet kerana anda boleh menambah nilai secara atas talian dan tidak perlu menunggu untuk menerima duit baki di kaunter tunai. Semuanya mudah dengan aplikasi digital ini. - Pelbagai Diskaun
Kebanyakkan e-dompet menawarkan pelbagai bentuk diskaun dengan tawaran pulangan tunai dan baucer daripada pelbagai syarikat pedagang. Dengan ini, anda turut dapat menjimatkan wang anda.
Di samping itu, untuk sektor perniagaan, terutamanya IKS (industri Kecil & Sederhana), e-wallet membuka peluang untuk perkembangan perniagaan mereka dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran. Pada masa yang sama, peniaga boleh melakukan pengurusan inventori dengan lebih berkesan.
Sekarang ini kita dapat lihat dari sebesar-besar hypermarket sehinggalah ke gerai-gerai tepi jalan, perniagaan sudah boleh menerima bayaran dengan e-wallet. Mesti ada manfaat kenapa merchant (peniaga) semakin mahukan mengadaptasi pengunaan e-wallet walaupun dikenakan fee atau caj. Salah satu sebabnya ialah terdapat marketing percuma yang boleh disertakan dalam aplikasi e-wallet yang boleh bantu naikkan volume jualan.
Untuk pengguna, ini adalah 5 tips untuk memaksimalkan manfaat e-wallet anda:
1. Gunakan Sebagai Alternatif Tunai Untuk Perbelanjaan Tetap
Jika ada pilihan untuk gunakan e-wallet, jadikan ia cara pembayaran utama untuk perbelanjaan wajib seperti petrol, bil-bil dan sebagainya. Kedai-kedai serta restoran sekarang pun sudah banyak menyediakan kemudahan ini. Kalau bayar dengan wang tunai jarang sangat kita akan dapat apa-apa ganjaran.
Dengan e-wallet, banyak tawaran seperti diskaun, rebat tunai dan mata ganjaran yang boleh diterima. Ganjaran e-wallet juga rata-rata nilainya lebih tinggi dan tiada had maksima seperti ganjaran kad kredit.
2. Berhemat apabila berbelanja dengan e-wallet
E-wallet boleh dilihat seakan sama dengan kad kredit yang cuba galakkan kita berbelanja sebanyak mungkin. Apatah lagi banyak promosi-promosi terkini yang terpapar di applikasi e-wallet.
3. Top-up e-wallet dengan kad kredit
Kita akan dapat manfaat 2 dalam 1. Walaupun ada bank-bank yang mula nampak tergugat dan dah hentikan ganjaran untuk transaksi tambah nilai e-wallet, namun masih ada lagi yang memilih untuk ‘ride the trend’ terutama yang melibatkan ‘closed e-wallet’ (e-wallet yang tidak ada fungsi pengeluaran tunai).
Ganjaran daripada kad kredit pun dapat, manfaat daripada e-wallet pun dapat.
Tetapi perlu berhati-hati, jika anda tiada pendapatan tetap, lebih baik link sahaja e-wallet anda dengan debit kad atau akaun bank anda. Untuk elak terlebih hutang nanti.
4. Jana pendapatan sampingan ala ‘gig-economy’
Lagi banyak belanja, lagi tinggi ganjaran tanpa had. Ambil peluang dengan tawarkan kepada keluarga dan kenalan untuk bayarkan bil-bil, hutang PTPTN, kredit prabayar, bayaran makan di restoran dan lain-lain yang kita boleh gunakan e-wallet.
Kita hanya perlu kutip jumlah yang dibayarkan dan tidak perlu kenakan apa-apa caj tambahan. Cashback dan mata ganjaran yang diterima cukup untuk jadi pulangan yang berbaloi untuk usaha tersebut.
Ingin menjadi ejen top-up pun boleh. Atau lebih advance lagi, kita boleh jadi seorang ‘Personal Shopper’ dengan mengenakan sedikit caj perkhidmatan sebagai pendapatan tambahan selain daripada ganjaran menggunakan e-wallet.
5. Melabur dalam syarikat yang berkaitan dengan e-wallet
Kita yang menetap di bandar-bandar utama mungkin merasakan trend penggunaan e-wallet sudah memuncak. Tetapi ia sebenarnya ialah suatu permulaan yang boleh mencetus gelombang ke tahap lebih tinggi.
Realitinya, 80-90% transaksi jual beli di seluruh negara masih menggunakan wang tunai. Di antara sebab utama ialah adaptasi e-wallet majoritinya hanya dalam kelompok golongan muda dan mereka yang tinggal di bandar saja.
Jika dibandingkan dengan kad kredit yang agak memakan masa untuk menjadi ‘mainstream’, e-wallet dilihat tidak menghadapi masalah yang sama kerana adaptasi e-wallet tidak memerlukan proses yang rumit seperti permohonan kad kredit. Sesiapa pun boleh install aplikasi e-wallet di dalam telefon pintar dan terus menggunakannya.
Sekarang sudah timbul pula isu ‘patuh syariah’ membabitkan e-wallet. Tidak perlu risau sebab isu seperti ini biasanya ada kesan positif juga dengan memberi publisiti pada e-wallet. Bila resolusi berkaitan dicapai, pastinya penerimaan e-wallet akan jadi semakin baik.
Kesimpulannya, e-wallet adalah perniagaan masa hadapan!