May 29, 2020

Desakan kepada penyatuan, bukan perpecahan

thumb_1

1. Saat Tuah akur kehendak sultan, mungkin ia adalah PRINSIP Tuah dan boleh juga ia menjadi MISI Tuah untuk kesejahteraan Melaka keseluruhannya. Prinsip seorang Laksamana yang seluruh Melaka mengetahuinya. Taat pada sultan tidak mengira andai nyawanya melayang. Namun misinya? Pasti lebih besar. Ingin semua rakyat jelata tahu, Sultan itu tonggaknya, andai sultan dilanggar sewenangnya, rakyat dan negara pasti hancur binasa. Tahun 1511 menjadi saksi, apabila Sultan ditikam si Bendahara. Maka musnahlah sebuah Kota Melaka.

2. Kembali kita semasa PRU 14 lalu. Negarawan Tun Dr Mahathir diakui seorang yang berprinsip, berjasa dan hebat sumbangannya kepada negara. Apabila pemimpin barat membuli, Dasar Pandang Ke Timur beliau bentangkan. Negeri pertanian ditukar ke perindustrian. Teknologi Maklumat beliau adalah pelopor. Beliau memastikan rakyat Malaysia menolak politik perkauman ekstremis DAP dan menentang sesungguh hati atas nama prinsip bagi membela nasib Melayu sejati. Juga misi memastikan DAP tidak mentadbir Malaysia bagi menjaga hak-hak Melayu. PRU 14 lalu, misi Negarawan Tun Dr Mahathir adalah membawa kembali Malaysia ke landasan yang betul dengan menjatuhkan kleptokrat yang berkuasa ketika itu. Adakah prinsip Tun Dr Mahathir berubah? YA.. kerana misinya berubah. Demi negara, misi mengatasi prinsip dan Pakatan Harapan telah diwujudkan bagi menjayakan misi tersebut. Kerjasama dengan musuh utama iaitu DAP dan juga Anwar Ibrahim. Prinsip Tun Dr Mahathir terhadap perjuangan? Sama.. iaitu menyelamatkan Malaysia dari kerosakkan. Prinsip pula ? Boleh sahaja letak ditepi sementara kerana sebuah misi yang kesannya lebih besar.

3. Kita jangan menjadi seperti Jebat. Niatnya murni tetapi dicop derhaka sepanjang hayatnya dan di dalam lipatan sejarah. Jebat pun punya prinsip. Tetapi caranya salah. Dari persahabatan lima bersaudara, pengorbanan kepada pemimpin negara dan kesetian kepada lima laksamana menjadi satu alasan untuk dia memberontak menawan istana. Tetapi ia tidak lama, dia tewas dan dilabel derhaka sepanjang sejarah. Misi jebat sepatutnya mudah, patuh kepada sultan dan dengar kata Tuah. Pasti dia akan menjadi Laksamana ternama di Kerajaan Melaka.

4. Contoh pada masa kini amat ketara. Kita membawa penyatuan orang-orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Disaat misi Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin menyatukan orang Melayu di dalam negara, ada segelintir kita pula yang menentang dan bersuara lantang. Semasa semua pilihanraya kecil lalu, Bersatu tewas besar. Isunya, penguasaan DAP dalam kerajaan PH. Jika Bersatu terus berada di dalam PH, akan berkubur parti ini bersama dengan rakan-rakannya.

5. Andai mereka yang menentang penyatuan yang di bawa oleh Tan Sri Muhyiddin ini sebagai prinsip, maka mereka jelas seperti Jebat. Yang menentang tanpa menilai misi semasa yang lebih besar kesannya. Gabungan bersama UMNO bukan gabungan membabi buta. Ia gabungan yang besar dan meninggalkan pelaku jenayah dan yang membuat salah(jika terbukti bersalah). Kita pilih yang putih bagi mengelakkan hitamnya sejarah negara kembali berulang. Proses keadilan sedang berlaku. Misi masih sama, membawa negara kembali ke landasanya dan ditambah sub misinya iaitu mengangkat semula perpaduan Melayu Islam seluruh negara.

6. Bersatu parti Melayu baru, kita masih pucuk muda. Yang menjadikan kita kuat, apabila kita menyokong Tan Sri Muhyiddin bersama-sama. Tenaga desakan kita perlu kepada keutamaan yang betul. Kita perlu mendesak untuk memilih pemimpin yang bersih. Kita perlu mendesak untuk menjadi gabungan parti Melayu yang kuat di dalam negara. Bukan mendesak untuk berpecah-belah; sama ada menyokong Tun Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin.

7. Jangan sekadar bersuara lantang, malah perlu hormat dan melihat dalam pandangan yang lebih luas dan perlu berfikir dengan lebih panjang. Kerana saat ini, andai kita berpecah lagi, lebih teruk bangsa kita. Ahli politik kecil atau besar penuh dengan idea dan semangatnya. Tetapi yang mampu mengawal emosi amat kurang bilangannya. Kalau benar ahli-ahli parti kita layak digelar pemimpin dan juga matang, mari bermesyuarat untuk bekerjasama dengan kepimpinan dari bermesyuarat yang hanya mahukan perpecahan.

8. Dari UMNO ada Bersatu, dari Bersatu adakah bangsa Melayu ingin berpecah lagi ?

Negarawan telah berpesan , “jangan taksub pada parti, taksub pada negara “ - Tun Dr Mahathir Mohammad

Razrul Anwar Rusli
TKB Johor Bharu
BERSATU SELAMANYA.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru