March 6, 2023

Adakah kehadiran Tesla secara langsung baik untuk negara ?

thumb_1

Majoriti rakyat biasa mungkin gembira dengan kemasukan langsung syarikat Tesla ke Malaysia. Ia bukan lagi melalui pengedaran tunggal atau sah dan juga bukan melalui Approval Permit kereta import. Minggu lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.

Tesla dijangka akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Objektif MITI adalah bertujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV dan mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia.

Tesla beroperasi menggunakan model jualan pengguna secara terus tanpa membabitkan pengedar. Pusat Pengalaman Tesla pula adalah lokasi di mana pengguna boleh mempelajari lebih mendalam mengenai kenderaan itu. Bakal pembeli perlu membuat tempahan secara dalam talian dan kereta akan diterima selepas stok diperuntukkan.

Kini para pengguna boleh memilih untuk mendapatkan  recondition Tesla yang biasanya diimport oleh pemegang AP dari Jepun atau United Kingdom, dan tidak lama lagi boleh terus beli dengan model baharu melalui syarikat Tesla Malaysia.

Contoh seperti syarikat Ingress Auto yang merupakan salah satu pengedar sah BMW dan menjual BMW model baharu, harganya lebih mahal berbanding BMW recondition yang diimport dari United Kingdom. Model 3 series baru boleh mencecah RM300,000 manakala dengan model recondition, mungkin model tahun lama sedikit 1 atau 2 tahun dari yang baharu, ia berharga RM200,000 hingga RM250,000. Begitu juga pengedar sah untuk jenama BMW ini seperti Sime Darby, pengedar Mercedes Benz iaitu Naza, Hap Seng, pengedar Nissan Tan Chong Motor, dan lain-lain di mana jenama kenderaan antarabangsa diwajibkan melalui syarikat tempatan sebagai ‘pintu masuk’.

(Menara terbaru Hap Seng di Kota Kinabalu)

Lihat kepada Naza yang bermula sebagai penjual kereta terpakai atau recondition car dari Jepun, kini merupakan sebuah konglomerat bumiputera yang berjaya. Lihat juga Hap Seng yang merupakan pengedar jenama Mercedes Benz, merupakan konglomerat tempatan yang sangat berjaya. Contoh dua gergasi Malaysia ini hingga mereka berjaya menceburi bidang hartanah dan mempunyai bangunan, aset berbilion ringgit adalah bermula dari peluang penjualan kenderaan. Dasar kerajaan pada masa itu secara tidak langsung membantu terlahirnya tokoh-tokoh konglomerat besar negara.

(3 Naza Tower dibangunkan di hadapan KLCC. Naza bermula sebagai penjual kenderaan import terpakai bermula 4 dekad lalu)

Jadi bagaimana pula dengan kemasukan Tesla secara langsung ? Siapa yang akan peroleh manfaat besar sebenarnya ? Adakah negara dan idea para menteri masih di takuk era 80-an di mana mahu menarik pelaburan asing sahaja ? Bagaimana untuk eksport dan perbaharui teknologi yang dihasilkan di negara ini ke luar ?

Proton adalah satu jenama yang boleh dikatakan berjaya. Tidak ada syarikat kenderaan nasional yang ada di rantau Asia Tenggara. Cuma era baharu ini, Vietnam melonjak pembuatan kenderaan elektrik nasional mereka iaitu VinFast. Namun Proton terlebih dahulu bertapak.

Kita mengkritik Proton apabila menjual saham sebanyak 49% kepada Geely, syarikat China dan pemilik Volvo. Kini Proton berkembang sihat dan mula ekspot ke luar negara. 51% kepentingan masih milik tempatan. Kita belajar teknologi dan pemasangan di Malaysia dengan kepakaran luar. Kilang didirikan dan ditambah.

Jika Tesla boleh mendirikan kilang dan menghasilkan bateri kenderaan elektrik di Malaysia sebagai timbal balik dari tawaran penjualan secara langsung di negara ini, ia mungkin memberi manfaat kepada ekosistem keseluruhan negara. Tetapi jika rakyat hanya berpeluang menjadi sales man sebagai peluang pekerjaan, Malaysia akan terus menjunam dibelakang Vietnam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kehadiran pengeluar kereta elektrik di Malaysia dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global. Jika benar pembekal alat ganti tempatan juga dibangunkan, ini akan bermanfaat.

Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang autommotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.

Ia mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.

Tesla adalah salah satu syarikat paling bernilai di dunia dan setakat ini, ia adalah pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia.

Syarikat itu mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru