May 25, 2019

Kemelut Bersatu Johor yang tidak berkesudahan

Pagoh 25 May - Kemelut pimpinan Bersatu Johor berkocak lagi. Ia mendapat perhatian kerana Johor merupakan salah satu kubu penting untuk parti tersebut. Johor dilihat penting untuk kesinambungan perjuangan parti kaum pribumi itu di Malaysia. Faktor parti Bersatu telah menjadi penyumbang terbesar tewasnya BN di negeri itu pada pilihanraya umum yang lalu setelah hampir 2 dekad PKR & DAP cuba untuk merampas tetapi gagal.

Selepas Menteri Besar yang baharu dilantik iaitu Dr Shahruddin Jamal untuk menerajui pentadbiran negeri, Bersatu sekali lagi mempunyai ketua baru untuk pimpinan politiknya, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Mazlan Bujang dilantik sebagai pengerusi. Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa. Namun seperti diketahui umum dari media massa, beliau tidak mempunyai sokongan dari 21 ketua-ketua bahagian Bersatu Johor. Sumber juga menyatakan yang Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu juga mengunci mulut di dalam soal ini kerana tidak mahu dilihat bertelagah dengan Pengerusi Bersatu iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad yang telah mengeluarkan kenyataan media menyokong Mazlan sebagai pengerusi Bersatu negeri. Sehingga artikel ini ditulis, tularr masih gagal mendapat komen dari Tan Sri Muhyiddin.



Ada juga yang mempersoalkan tentang lantikan Bendahari Bersatu Johor yang baharu, ADUN Larkin, Mohd Izhar yang dikatakan melakukan u-turn setelah meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Labis dan ingin keluar parti, tetapi kini dilantik sebagai Bendahari Bersatu Johor. Menurut sumber dalaman, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Izhar sebelum ini sepatutnya perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti kerana telah mengeluarkan kenyataan terbuka akan tidak percaya kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinannya. Lantikan ini dilihat ramai seperti mencabar kepimpinan Tan Sri Muhyiddin setelah kenyataan 'kecewa' yang dikeluarkan ADUN Larkin itu di media.



Terdapat juga suara yang menyokong akan pembahagian kuasa ini, di mana pentadbiran kerajaan yang diketuai Menteri Besar tidak semestinya juga memimpin parti. Jadi 'check and balance' dapat dilaksanakan.

Namun yang merisaukan ahli-ahli Bersatu Johor adalah pertembungan dua kem pimpinan negeri. Menteri Besar dilihat lebih ke arah untuk membaik pulih hubungan di antara Kerajaan Pusat dan Istana Johor, manakala Mazlan Bujang dilihat sebagai seorang yang senada dengan Tun Dr Mahathir Mohammad. Pastinya ia memberikan cabaran buat Menteri Besar untuk memimpin negeri ini, kerana akan ada pihak dalaman sendiri yang menjadi pengawas kepada keputusan pentadbiran.

Rakyat hanya berharap kepada pemimpin Bersatu dan Pakatan Harapan di Johor amnya untuk lebih fokus terhadap isu seperti kos hidup, harga barangan dan kos rumah yang tinggi yang kini dihadapi oleh orang Melayu Johor. Juga orang Melayu di Johor mempunyai harapan yang tinggi kepada Bersatu untuk menaikkan ekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding orang Cina. Majoriti mereka telah menolak UMNO sebagai tempat pelindung nasib mereka semasa Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu.

Veteran politik Johor yang tidak ingin dikenali berkata, kemelut kepimpinan ini hanya dapat dihentikan apabila kenyataan rasmi dari mulut Presiden Bersatu sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikeluarkan secara terbuka. Hanya beliau yang mempunyai pengaruh yang besar dikalangan ketua-ketua bahagian di negeri ini. Ini terbukti melalui pilihanraya umum ke 14 yang lalu dengan tumbangnya BN melalui gerak kerja pemimpin-pemimpin awal yang setia bersama beliau dahulu.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru