read in Eglish September 24, 2019

Bilakah bakat kita patut dihargai ?

thumb_1

“Industri seni, perfileman dan lakonan di Malaysia masih di tahap dunia ke tiga . Di mana yang kaya mengambil kesempatan di atas kekurangan si miskin. Ia tidak adil”

Kenyataan tersebut boleh dilihat melalui dua perspektif. Status Quo dan Perbandingan Empirikal.

STATUS QUO.

1. Situasi artis dalam bidang lakonan semasa menjadi tidak adil apabila bayaran bukan lagi diukur dari bakat tetapi populariti dan trending semata-mata. Mudahkan cerita, berbakat bagaimana pun artis tersebut, andai penerbit merasakan beliau tidak popular pada masa kini, maka timbullah isu Jalil Hamid yang ditawarkan RM1500 bagi watak utama dalam 12 babak. Lagi saya sedih dan kecewa, total babak yang akan dirakamkan adalah 16. Maka, untuk artis yang berlakon 75% dari keseluruhan cerita tersebut harganya hanyalah sedemikian rupa. Lebih mengecewakan apabila artis yang jauh lebih muda, baru ditawarkan lebih daripada beliau. Ini berlaku pada 2018! - Ini PERTAMA.

2. Di Malaysia, isu royalti bagi bidang muzik yang merangkumi penyanyi, komposer, pemilik lagu dan juga penerbit sudah pun ada jalan penyelesaian. Jutaan wang sudah berjaya dikumpul untuk diagihkan. Jarangbdengar penyanyi yang hidup merempat seperti pelakon veteren. Badan yang bertanggungjawab itu dinamakan RIM (Record Industry of Association Malaysia - www.rim.org.my) Pelakon? Tiada badan khusus untuk royalti seni mereka. Contoh lagi pada pelawak lama dan berbakat Jalil Hamid. Puluhan drama beliau telah lakonkan, belasan filem beliau pernah sumbangkan, beratus kali ia diulangkan di siaran siaran televisyen, apa yang beliau dapat? Tiada royalti. Andai pemilik stesen siaran mampu mengutip jutaaan ringgit setahun, hanya dengan membeli drama dan juga filem untuk ditayangkan, mungkin penerbit yang menerima habuan. Tetapi hasil seni pelakon yang diguna untuk meraih keuntungan, ingin sama berkongsi habuan, tetapi mereka masih tidak diberikan hak itu. – Ini KEDUA

3. Bagi dunia perfileman pula lain matematiknya. Yang cecah "Box Office" puluhan juta kutipan. Pernah dengar pelakon menjadi JUTAWAN? Pernah dengar nama Dwayne Johson? Bayaran royalti beliau setahun lebih 300 JUTA USD. Kenapa di Malaysia tiada royalti kepada anak seni ? Mudah logiknya, apabila kita tidak berfikir adik, tidak memegang konsep memakmurkan semua pihak, tidak menghargai hak orang lain, maka wujudlah isu pelakon Hantu Kak Limah merungut. Puluhan juta kutipan panggung itu bukan untuk mereka, tetapi untuk penerbit dan tycoon pemilik wayang semata-mata di atas sana. Kerah keringat setiap pelakon untuk memberikan aksi terbaik, kerja 20 jam sehari, kutipannwayang tinggi, cukuplah pelakon dapat sepuluh dua puluh ribu, yang lebih biar kami sapu. Inilah nasib pelakon di Malaysia.- Ini KETIGA.

PERBANDINGAN EMPIRIKAL.

1. Korea juga negara asia. Jangan dipandang pada rupa, banyak lagi artis dalam negara kita yang jauh lebih berbakat, kacak dan jelita. Tapi bagaimana kehidupan mereka ? Di korea sudah ada agensi yang menjaga artis mereka. Pertubuhan artis sangat kuat sehingga segalanya dijaga dengan ketat. Sebut sahaja KBS atau TVN, seluruh dunia filem mereka dijaja. Ini baru perniagaan yang berjaya membawa bakat dan budaya merentasi benua. Bukan sekadar jaguh kampung di dalam negara.

2. Di Amerika, Hollywood tidak pernah gersang dengan filem dan artis yang popular dan berbakat besar. Adakah terlalu bijak pengarah disana? Atau semua pelakon berbakat besar? Sama sahaja. Cuma hasil seni mereka dibela. Mereka melakukan all-out kerana hasilnya berpanjangan. Pendapatan mereka stabil. Jesteru mereka dapat melahirkan lagi banyak karya-karya yang baik. Dunia lakonan mereka juga kuat kerana dinaungi sebuah pertubuhan yang berintegriti. SCREEN ACTORS GUILD di mana ahlinya dikalangan pelakon sahaja sudah mencecah sehingga 120 ribu. Kuatnya persatuan ini adalah membela nasib pelakon di negara Amerika. Apa peranan SAG ini ? 3 perkara utama perjuangan SAG yang boleh ditubuhkan di negara kita :

  • Berbincang dan melaksanakan hak pelakon dari segi waktu kerja, pampasan dan juga kelebihan dalam lakonan.
  • Mengumpul pampasan dari sebarang eksplotasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab dan diagihkan kepada pelakon tersebut.
  • Membantu dan mengembangkan karier setiap pelakon dalam setiap aspek.

3. Tiga perkara asas ini, maka lahirlah pelbagai jutawan dan pengarah billionaire dari dunia seni barat seperti Jerry Senfeild, Tom Cruise, Johnny Depp, dan pelakon yang dah tua Clint Eastwood, Al Pacino. Clint Eastwood? Ya, beliau pelakon jutawan. Lagenda. Bukan pada usia dan pangkat "datuk" sahaja, tetapi royalti dan bayaran semasa beliau kena pada statusnya yang menyumbang kepada industri perfileman Hollywood. Anda kenal P Ramlee? Sehingga akhir hayat beliau hidup tanpa bantuan. Anak-anak P.Ramlee ? Hilang dalam kesusahan. Anak-anak Micheal Jackson ? Menikmati royalti hasil kerja keras mendiang ayah mereka. Hidup terjamin selagi manusia adanya halwa telinga untuk mendengar muzik. Inilah nasib penggiat seni MALAYSIA. Siapa yang ingin perjuangkan mereka ? Majoritinya mereka yang berbakat ini adalah orang kita, Melayu.

4. Setiap teguran perlu hadir dengan solusi. Banyak perkara yang boleh kita contohi dan banyak perkara yang perlu kita baiki. SAG Malaysia perlu ditubuhkan. Ini solusi pertama dan wajib. Ia bukan sekadar persatuan yang suka pada dana politik. Ia adalah pertubuhan yang kuat dan dihotmati bagi menjaga semua seniman lakonan tanah air. SAG adalah jalan yang telus dan adik. SAG bukan sahaja melibatkan pelakon, ia turut memerlukan kesemua pemain dalam industri lakonan dan perfileman. Kalau SAG sudah ada dari dulu, Dato Rosyam Nor sudah pun bergelar jutawan dan tidak perlu terpaksa terjun di bidang perniagaan. Karyanya mungkin lebih besar kerana motivasinya terjamin.

5. Solusi yang kedua sedikit complex dalam perlaksanaan. Tetapi masih logik untuk dijalankan. Kalau doktor, yang paling terbaik adalah pakar. Andai guru, tinggi DG nya melambangkan lamanya beliau mengajar. Andai polis, paku di bahunya bukti kepada tingginya pangkat. Bagi seniman lakonan? Artis veteren menjadi gelaran. Berbeza dengan askar, veteran sama ertinya dengan pakar. Bagi artis, veteran ini adalah yang paling berpengalaman. Macam Perdana Menteri kita Tun M. Pakar strategis politik dan pentadbiran negara. Mampu menangis tanpa semburan mata, mampu marah tanpa terluka, mampu ketawa hanya untuk buat penonton gembira. Namun disebabkan "Veteran", di Malaysia ini, mereka tak laku. Tiada nilai komersial . Oleh kerana pendapatan tiada, maka pembangunan diri juga terhad. Penampilan juga kurang mengujakan. Jadi artis juga perlukan GRED. Populariti dan penerimaan turut boleh dijadikan elaun tambahan. Apabila sistem gred dikalangan artis lakonan wujud dan selaras, maka pendapatan semua akan terjamin, yang muda akan lebih menghargai bidang lakonan, yang veteran akan lebih dihargai dalam bidang lakonan.

6. Akhir, penulisan ini hanyalah bertujuan ingin melihat perubahan yang lebih jauh dalam semua sektor dalam negara kita. Lebih-lebih lagi industri yang banyak melibatkan orang Melayu. Sangat tidak berpuas hati apabila melihat cerita kekasih hati sudah berada di Iflix, tetapi pelakon-pelakon tidak mengetahui langsung bakat mereka dimainkan di siaran berbayar itu. Tiada royalti. Pemilik iFlix menerima bayaran bulanan dari berjuta-juta pelanggan yang menikmati kandungan seni pelakon-pelakon kita.

Tipulah kita tidak bagus, Siamang Tunggal si Upin Ipin pun sudah menang di Rusia. Percayalah, andai seniman kita dijaga baik, tidak mustahil senarai orang terkaya malaysia terselit seorang seniman lakonan di 10 anak tangga. Juga integriti industri lain akan turut serta berubah ke arah keadilan dan kebaikan. Malaysia akan dihormati di mata dunia.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru