February 14, 2020

Jawatan dan latarbelakang bukan ukuran untuk berkhidmat

thumb_1

Buat pertama kali dalam sejarah, parti Bersatu akan melaksanakan undang-undang organisasi di dalam negara ini, iaitu pemilihan jawatan di dalam parti.

Satu ahli satu undi (SASU) merupakan sistem yang diguna pakai. Pemimpin cawangan dan bahagian kelak akan dipilih oleh setiap ahli-ahli di cawangan-cawangan berdasarkan kebolehan, persepsi, personaliti, populariti dan banyak lagi faktor-faktor lain.

Bagi saya yang baru 3 tahun berkecimpung ‘secara tak sengaja’ di dalam arena politik, pemilihan ini amat menarik. Berbeza dari dunia perniagaan yang lebih tersusun, politik ini amat luas cara kerjanya. Politik membolehkan saya hampir kepada perkara-perkara kebaikan. Tanpa politik mungkin saya hanya sibuk dengan urusan material semata-mata. Dengan politik, saya hidup bermasyarakat, bergotong-royong, ke surau masjid, ziarah orang sakit , ziarah kematian , memberi sumbangan dan banyak lagi perkara-perkara yang dituntut oleh adat resam Melayu & agama. Ia juga boleh menjadi contoh tauladan yang baik kepada insan lain terutama generasi muda.

Ahli-ahli yang rasional akan memilih pemimpin yang terbukti mempunyai rekod khidmat baik kepada parti. Tetapi tidak dinafikan ada juga yang ingin mencuba kepada yang baru mengikut kepentingan diri sendiri.

Saya bermula sebagai Bendahari Bahagian Johor Bahru di tahun 2017, kemudian dilantik oleh Ketua Bahagian, Cikgu Zais kepada jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Niat di waktu itu hanyalah untuk menyertai parti Tun Mahathir dan menyelamatkan negara dari Najib. Perniagaan saya menjadi susah kerana GST. Saya ingin berjuang dibelakang tabir. Tetapi apabila kita bersungguh-sungguh bekerja dengan ikhlas, ada yang menghargai usaha ini terutama sekali Cikgu Zais, lantas diberikan jawatan kedua tertinggi di bahagian untuk melicinkan jentera parti di waktu itu.

Anak kelahiran Kedah, negeri yang sama dengan Tun Mahathir, malah kampung saya juga merupakan Parlimen Tun Mahathir iaitu Kubang Pasu. Bersekolah hingga tingkatan 5, meneruskan Pengajian Tinggi di Universiti Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur dalam bidang teknologi maklumat pada tahun 2000. Namun pengajian tidak dapat saya teruskan di tahun akhir universiti kerana ayah tercinta meninggalkan kami selamanya. Saya harus memikul tanggungjawab bekerja untuk menjaga ibu, dan 3 lagi adik yang belajar. Alhamdulillah kini adik-adik telah berjaya dan telah berkahwin terlebih dahulu dari saya. Jurutera, peguam dan doktor , inilah profession adik-adik dan saya seorang abang yang bangga.

Pada tahun 2004, saya menubuhkan perniagaan IT sendiri di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Terima kasih Tun Mahathir kerana memberikan visi teknologi maklumat pada era itu kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya menyahut seruan itu. Kempen ‘Suka IT’ dari kerajaan berjaya. Saya terlahir dari ‘produk’ tersebut. Dari tahun 2004 hingga kini, Johor merupakan pusat perniagaan kedua bagi saya selepas KL. Berulang - alik KL dan Johor adalah perkara biasa setiap minggu. Johor Bahru telah membantu pasaran perniagaan saya berkembang. Dari Johor perniagaan saya masuk ke Singapura. Tanpa Johor Bahru, sukar bagi saya untuk bertapak di Singapura kerana faktor matawang mereka yang tinggi. Sehinggalah juga saya bertemu tunang yang tercinta, juga anak Johor. (Doakan hubungan kami ke jinjang pelamin pada Disember 2020 ini, InsyaAllah)

Kelahiran negeri bukan ukuran utama untuk menjadi pemimpin di mana-mana jawatan atau menceburi mana-mana bidang sekalipun. Terutama sekali di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru ini, di mana masyarakatnya lebih terbuka dan berpendidikan. Sebagai contoh terdekat, Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru dan ahli parlimen yang paling lama di sini, Tan Sri Shahrir bin Abdul Samad telah berkhidmat dengan cemerlang di Johor Bahru selama 6 penggal (hampir 30 tahun) di sini. Beliau merupakan anak kelahiran Kuantan Pahang. Beliau pernah menang pilihanraya atas tiket Bebas di sini juga. Itulah contoh kekuatan jika kita betul-betul berkhidmat pada rakyat. Banyak lagi contoh dari negeri-negeri lain. Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin bin Shari kini, merupakan anak kelahiran Pontian Johor. Beliau sedang berkhidmat cemerlang menabur jasa bakti di negeri paling kaya di Malaysia iaitu Selangor. Kita adalah rakyat Malaysia. Wajib menabur bakti di mana-mana di dalam negara kita.

Saya berbangga dan bersyukur kerana dapat menabur bakti kepada parti Bersatu hingga beroleh kemenangan. Johor Bahru telah tertulis sebagai platform saya untuk berkhidmat kepada parti dan masyarakat.

Pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit telah dikorbankan dari dulu, kini dan akan seterusnya, InsyaAllah. Ini komitmen kita. Kita merupakan parti yang tidak kaya. Semua aktiviti dan pejabat bahagian diuruskan dari kocek sendiri hingga kini. Tiada apa pun projek-projek kerajaan yang Bersatu JB terima selepas kemenangan. Bersatu JB mempunyai seorang Ketua Bahagian yang baik. Namun sebagai pemimpin, beliau tidak boleh memuaskan hati semua orang. Jadi adalah lebih baik kita rasional & mengukur dari segi kepimpinan beliau. Malah, lebih afdal lagi bagi kita yang muda, memperkuatkan sesama kepimpinan perpaduan Melayu melalui gabungan pengalaman orang yang lebih lama berkecimpung dalam dunia politik dengan orang muda yang bertenaga serta kreatif. Dengan cara ini, bagi pendapat saya, bangsa Melayu tidak akan berlawan sesama sendiri demi jawatan tetapi akan bersatu padu untuk agenda yang lebih besar iaitu membangunkan ekonomi orang Melayu.

Saya hanya mempertahankan jawatan saya sebagai Timbalan Ketua Bahagian sahaja. Calon No. 2 . Jika ada calon lain yang lebih berkaliber, yang telah berkhidmat lama di Bahagian Bersatu Johor Bahru dari awal hingga kini, maka saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan pertandingan yang sihat demi kekuatan parti. Ini kerana, siapa sahaja yang menang, pastinya ahli-ahli Bersatu Johor Bahru akan memiliki seorang Timbalan Ketua Bahagian yang lebih baik daripada saya.

Saya tidak mengharapkan kemenangan untuk diri sendiri. Saya sedang melakukan yang terbaik bagi ketua dan bahagian JB. Dari mula hingga kini, taat setia di dalam perjuangan Bersatu JB tanpa berbelah bahagi kerana saya mempunyai pemimpin yang terbaik untuk parti dan saya mempunyai barisan rakan seperjuangan yang sanggup berkorban tenaga, masa dan wang ringgit mereka sendiri. Samaada terdapat ahli yang rapat atau tidak dengan saya, saya tahu, mereka juga turut sama berkorban demi perjuangan Bersatu JB. Kita semua di Johor Bahru amat sayangkan negara, Bersatu, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan sesama kita ahli sekeluarga. Orang Melayu wajib hormati yang tua. Orang Islam wajib menjaga silaturrahim.

Kepada semua ahli-ahli Bersatu di Johor Bahru, saya menyeru, pilihlah mereka yang telah teruji di dalam waktu sukar dan di waktu kemenangan. Pilihlah mereka yang telah menabur bakti di Johor Bahru. Ketepikan emosi dan dendam, fikirlah nasib anak bangsa dengan memilih pemimpin yang ikhlas berjuang. Kita hanya ada perpaduan, yang perlu dipelihara. Kita tak punyai kewangan, hartanah dan perniagaan yang besar. Hanya melalui ukhwah kerjasama, perpaduan dan keikhlasan kita dapat membela bangsa kita dan bersama-sama meningkatkan taraf hidup bangsa kita di Johor Bahru. Lihat budi bakti, jangan fikirkan kesenangan sendiri. Lihat kecemerlangan prestasi kerja, bukan kesempatan di waktu pemilihan sahaja . Lihat akan mereka yang membina dan menyatu-padukan, bukan yang mencerai-beraikan. Lihat pada perkara positif sesama bangsa, bukan fitnah menjatuhkan sesama bangsa.

Akhir kata, perjuangan di dalam parti ini wajib konsisten sepanjang masa, jangan hanya bermusim. Kita telah bersama selama 3 tahun ini dan InsyaAllah kita akan terus mara kehadapan bersama - sama semua ahli Bersatu Johor Bahru.

Razrul Anwar Rusli
Calon No.2 Timbalan Ketua Bahagian
#kekalBersatuJB

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru