read in Eglish September 2, 2019

Utusan : Peluang Pintas Bersatu Untuk 'Berkomunikasi'

thumb_1

1. Sidang akhbar Majlis Presiden Pakatan Harapan memberikan kita suatu perspektif. Bebanan kerja berlebihan Perdana Menteri dan kurangnya pengalaman sesetengah Menteri Kabinet dalam Pakatan Harapan. Tun Mahathir berkata mereka cepat melatah. Namun, mereka bersih, berpotensi. Lebih baik dari konco-konco penyangak kleptokrasi dahulu yang menjerumus negara ke arah hutang yang dahsyat.

2. Pada pendapat, Utusan boleh menjadi penyelesaian kepada masalah propaganda, media dan komunikasi Bersatu. Sejarah Utusan,mulanya sebuah naskah berita, informasi dan semboyan yang berasaskan tulisan jawi. 1939 adalah tahun bermulanya sebuah akhbar Utusan Melayu yang menjadi kebanggaan orang-orang Melayu ketika itu.

3. Mampu bertahan sehingga kini, Utusan ini menjadi medium maklumat sepanjang zaman dimana ia melalui pelbagai fasa zaman yang penting di dalam malaysia. Ia membantu UMNO dan BN untuk menyebarkan propaganda dengan jayanya. Ia membantu Tun Mahathir mengekal kuasa selama 22 tahun.

4. Bermula dari Pra kemerdekaan, rombongan ke London, serangan Jepun dan komunis, bantahan Malayan Union, pertubuhan Malaysia, Piala Thomas 92, Sukan Komanwel 98, sehinggalah tertubuhnya kerajaan Pakatan Harapan, Utusan telah mengharungi semua sejarah negara dan masih menjadi salah satu akhbar arus perdana bahasa Melayu yang paling berpengaruh.

5. Rakyat lahir era Tun Mahathir dari tahun 80an, 90an, dibesarkan dengan membaca Utusan. Apa segala macam reformasi, ditepis dengan baik saluran maklumat Utusan yang menyokong pentadbiran Tun Mahathir ketika itu. Utusan akhbar nombor satu rakyat Malaysia.

6. Krisis yang melanda Utusan Malaysia kini perlulah dipandang luas oleh rakyat Malaysia khususnya kerajaan memerintah kini. Antara syarikat yang 100% dipegang dan pekerjanya adalah Melayu bumiputera. Ia adalah permata yang perlu diselamatkan dan diambil kesempatan oleh kita.

7. Bersatu perlu melihatnya sebagai suatu peluang untuk menguasai media menyampaikan visi dan wawasan kerajaan baru. Imej dan propaganda kerajaan kini gagal. Geobind Singh tiada fungsi. Tidak dirasai akan penyampaian maklumatnya. Penerangan Bersatu juga bercelaru, belum ada pengalaman. Kini Tun Mahathir adalah semuanya, Menteri Penerangan, Menteri Agama, Menteri Perpaduan. Dulu kita tengok juga selalu di televisyen atau akhbar dari Samy Vellu, Mohammad Rahmat, Megat Junid, tetapi kini semua Tun Mahathir.

8. Kini Utusan Malaysia cenderung dan dimiliki oleh parti pembangkang, kerana saham terbesar dipegang oleh Ketua Bahagian UMNO Kulim Bandar Baru Datuk Azeez, tetapi itu bukanlah sebagai alasan untuk kita biarkan ia terkubur rapat mendap. Ia adalah peluang untuk Bersatu atau proksi perniagaan untuk memilikinya. Pemilik Utusan kini tidak terdaya lagi. Ingin mempunyai media sendiri memerlukan modal, dan makan masa untuk dipercayai oleh masyarakat. Lagipun kita tidak kaya. Jadi Utusan adalah strategi paling tepat untuk Pakatan Harapan sebarkan propaganda dan berkomunikasi dengan rakyat.

berita-tular.com adalah inisiatif untuk membantu kerajaan pada ketika itu pembangkang. Modal dan tenaga dicurahkan untuk saluran maklumat kepada rakyat .

9. Salah satu faktor kuatnya semangat adalah dari kuatnya semboyan propaganda. Sekiranya Utusan terpadam didalam sejarah Malaysia, kita berharap UMNO akan lemah, maka kita silap. Sebenarnya yang terpadam jika itu berlaku adalah satu akar yang menyatupadukan orang Melayu selama ini.

10. Saya melihat ia sebagai suatu jalan pintas untuk Bersatu menguasai jiwa rakyat dan menjadi parti dominan. Bersatu memiliki barisan pemimpin yang bersih dan berpotensi. Amat malang kita biarkan senjata ini, yang masih digunakan oleh 'bossku' atau konco-konconya yang lain bagi mempertahankan kemungkaran yang lalu.

11. Kita perlu bersedia untuk PRU15. Bersatu mesti bermula sekarang. UMNO bergerak seperti esok akan bubar parlimen. Hishamuddin turun ke Johor setiap minggu, masih gah dengan sambutan akar umbi. Susun atur acara mereka seperti parti kerajaan. Media mereka bergerak aktif dan berani menabur fitnah dan rakyat percaya. Komunikasi mereka berjaya. Manakala bahagian-bahagian Bersatu masih terkial-kial walaupun program sekecil-kecil penyerahan bendera Malaysia untuk bulan kemerdekaan. Jentera kita masih sedikit dan lemah.

12. Kerana itu, propaganda dari pusat amat penting. Bersatu tidak boleh lagi berfikiran seperti pembangkang. Mengharapkan sukarelawan, ketua-ketua bahagian yang setia kepada Pengerusi & Presiden, atau penderma-penderma yang sayang akan negara. Kini Bersatu harus berfungsi sebagai kerajaan dan menggunakan sepenuh kekuatan dan peluang yang ada untuk 'mencengkam' minda rakyat. 'Cengkaman' ini bukan untuk menipu rakyat dengan isu salah laku, tetapi menerapkan apa yang sedang kerajaan laksanakan untuk masa hadapan negara.

13. Kita bimbang jika kerajaan tidak berjaya menguasai media, pembangkang yang kaya raya itu masih dapat mempengaruhi minda dan sokongan rakyat. Celiklah mata, lihat pergerakkan mereka kini . Di bahagian-bahagian kita sedang melakukan sedaya upaya. Tetapi ahli-ahli akar umbi memerlukan semboyan dari atas yang kuat dan jelas.

14. PRU15 amat penting untuk Bersatu terus kuat. Kita perlu menang. Untuk halatuju Malaysia baru dan perpaduan orang Melayu. Jasa UMNO telah berlalu, kita berterima kasih. Tetapi akhirnya ia telah dirosakkan oleh pemimpin mereka sendiri di atas ketamakan nafsu. Jangan dibiarkan pemimpin-pemimpn itu merosakkan negara sekali lagi dengan senjata yang paling berjaya, iaitu media dan komunikasi. Malaysia memerlukan Bersatu. Menjadi kewajipan kita menguasai semua senjata untuk menang bertempur musuh.

Kerajaan untuk penggal yang seterusnya

Razrul Anwar Rusli
Bersatu Selamanya

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru