en
March 30, 2024

Ekonomi Bumiputera harus ambil peluang akibat boikot pengguna

thumb_1 JOHOR BAHRU - Dalam keadaan kempen boikot sekarang, para peniaga bumiputera harus mengambil kesempatan menarik umat Islam membeli produk atau perkhidmatan mereka.

Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUPBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, isu kalimah Allah pada stoking perlu membuka minda peniaga bumiputera untuk terus mengembangkan perusahaan  mereka.

Ia sekali gus menyuburkan semula kempen Buy Muslim First (BMF).

“Peluang tersebut wajar diambil mereka kerana kuasa beli bumiputera adalah kira-kira RM100 bilion sebulan iaitu perbelanjaan terbesar berbanding kaum lain.

“Inilah masa yang sesuai untuk para pengusaha bumiputera mengembangkan apa yang diusahakan setelah isu tersebut mendatangkan kemarahan umat Islam kepada pengusaha bukan bumiputera yang culas menjaga sensitiviti umat Islam pelanggan terbesar mereka.

“Percayalah inilah masanya pelanggan Islam akan mula mencari rangkaian usahawan bumiputera dan ini jugalah masanya bagi pengusaha bumiputera untuk memajukan apa yang diusahakan termasuklah mereka di dalam perniagaan runcit yang berada dalam bentuk mini mart atau super market,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Khas dan Majlis Berbuka Puasa Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor di White Hall Event Space, Kempas malam tadi.

(Datuk Ismail Karim – tengah)

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif BestPay Solution Sdn Bhd, Razrul Anwar Rusli bersetuju bahawa peluang bumiputera untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka lebih mudah di era pendigitalan kini.
 

“Orang Melayu tidak perlu lagi bimbang dengan pihak ke tiga yang akan mengawal kos, bahan mentah ataupun keuntungan mereka. Mereka boleh dapatkan terus dari pembekal utama atau pasarkan terus kepakaran serta barangan mereka di dalam platform yang diiktiraf, sekaligus meraih ramai pengguna untuk membeli”, ujar yang mahu platform digital perlu bekerjasama dengan badan kerajaan supaya para peserta akan dibantu dengan lebih meluas di peringkat permulaan (start-up).

Razrul memberi contoh platform seperti Grab di mana semasa permulaan dahulu mereka dibantu oleh agensi keusahawanan kerajaan seperti MaGIC hingga mereka berjaya dan mampu menyediakan suatu ekosistem penuh kepada peniaga dan pekerja gig dalam mencari pendapatan bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau Asia Tenggara.

“Kini mereka menyumbang kepada pendapatan ekonomi Singapura apabila HQ mereka berpindah ke sana. Sayang sekali bagi negara kita, tetapi fakta di sini ialah mereka telah berjaya dengan sokongan strategik dari kerajaan di permulaan dahulu”, tambah Razrul lagi.

(Razrul Anwar Rusli)

“BestPay kini dalam rangka awal dalam mewujudkan platform digital yang menyeluruh untuk melahirkan pusat kegiatan ekonomi bagi semua rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran TVET, khasnya kepada Bumiputera untuk berniaga dan melakukan pelbagai urusan atau aktiviti melibatkan kemahiran mereka untuk memperoleh keuntungan”, ujarnya yang mengakui bahawa kuasa beli bumiputera di negara ini adalah pendorong ekonomi utama semua perniagaan daripada kaum-kaum lain.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru