read in Eglish October 18, 2019

Wawasan 2030 - Revolusi Industri 4.0 peluang untuk kaum Pribumi

1.Wawasan Kemakmuran bersama 2030 adalah hala tuju negara kini. Ia munasabah. 10 tahun dari sekarang. Rakyat Malaysia harus bekerja keras. Ambil contoh bagaimana rakyat Jepun membangunkan negara mereka dalam masa singkat selepas Pengeboman Bom Atom di Hiroshima. Tiada yang mustahil. Kerajaan 60 tahun juga boleh ditumbangkan.

2.Belanjawan 2020 bukan gula-gula. Tidak banyak komen negatif dari rakyat. Hanya manipulasi pembangkang. Rakyat bijak. Mereka tahu belanjawan yang dibentangkan ini merupakan ‘delivered budget’ . Duit yang benar-benar ada untuk disalurkan sebetulnya . Bukan main sebut bilion-bilion , tetapi tiada perlaksanaan kerana tiada duit. Itu yang kita dengar di zaman kleptokrasi Najib dahulu.

3.Walaupun kita tidak berpuas hati akan harga rumah yang boleh dibeli orang asing diturunkan kepada RM600,000.00 dari RM1 juta, saya percaya kerajaan telah mengambil kira pelbagai sudut . Ya, pemaju mendapat manfaat. Tetapi pemaju-pemaju ini juga penyumbang besar kepada pendapatan, peluang pekerjaan dan ekonomi negara. Perdana Menteri menekankan bahawa tiada warganegara diberikan untuk mereka yang membeli hartanah itu. Jangan risau, kita bukan buat ‘pulau baru’ untuk warga asing yang kaya seperti di Forest City. Kita hanya ingin menghabiskan hartanah yang tak terjual untuk merangsang semula ekonomi negara. Selepas ini fokus kerajaan haruslah kepada rumah di bawah RM300,000.00 , yang mampu dimiliki oleh orang muda kaum Pribumi.

4.Wawasan 2030 dan Belanjawan 2020 menekankan Revolusi Industri 4.0 . Ekonomi digital dan Pembuatan Pintar (Artificial Intelligent) dititikberatkan. Ini adalah masanya golongan Pribumi untuk menjadi pelopor dan maju dalam segmen ekonomi ini.

5.Kegagalan penyertaan golongan Pribumi untuk mendapat bahagian ‘kek yang besar’ di dalam Dasar Ekonomi Baru dahulu adalah kerana kaum Pribumi memasuki 'gelanggang' yang tidak sama tinggi.

6.Dasar penjajahan British menempatkan Pribumi di kampung pedalaman, Cina di bandar dan India di ladang menyebabkan beberapa golongan bangsa berada di hadapan dan ada yang tercicir.

7.Era DEB negara dahagakan infrastruktur dan pembangunan hartanah sebagai pemangkin perubahan negara dari negara berasaskan pertanian ke industri. Kilang-kilang barangan elektrik dan komponen elektronik banyak didirikan. Kaum Pribumi terutamanya orang - orang Melayu ketika itu banyak yang baru keluar dari kampung ke bandar-bandar yang ada kawasan perindustrian. Ramai technician dan operator pengeluaran diisi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah mampu untuk hidup di bandar dan mula memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka . Maka perubahan sosio-ekonomi orang Melayu baru bermula di era ini, 80-an ke 90 -an. Era perubahan yang dibawa oleh Perdana Menteri ke 4 ketika itu.

8.Manakala bagi bangsa lain seperti Cina yang telah menetap di bandar sejak zaman penjajahan lagi, mereka telah terdedah lama akan perubahan ini. Mereka telah belajar ke peringkat yang lebih tinggi dari kaum-kaum Pribumi. Di waktu ini mereka sudah memegang jawatan-jawatan penting di kilang-kilang. Jarang kita melihat pekerja kilang level operator pengeluaran yang naik bas atau van pekerja adalah dari kaum Cina. Mereka berjawatan besar . Kaum Pribumi mengikut dari belakang.

9.Disektor pembinaan pula kaum Pribumi mula berkecimpung dengan menjadi kontraktor-kontraktor kelas F sekurang-kurangnya. Mereka membuat jalan, membina parit dan saliran, membuat lanskap kebun dan sebagainya. Kaum Cina telah jauh meneroka pembangunan bandar. Lim Goh Tong sudah meneroka bukit menjadi Genting Highland. Sunway Group Tan Sri Jeffrey Cheah sedang pecah tanah atas perkenan Sultan Selangor ketika itu di kawasan Kampung Medan, kini Sunway Piramid. Yeoh Tiong Lay dan Vincent Tan sedang membangunkan metropolitan Kuala Lumpur di Bukit Bintang, hotel-hotel dan pejabat ketika itu. Kaum Pribumi tidak dapat mengejar kemajuan kaum Cina di bandar. Terdapat hanya seorang kaum Pribumi juga membangunkan hartanah ketika itu, Tun Daim Zainuddin, sedang membangunkan Taman Maluri Cheras.

10.Sektor pembangunan dipelopori kaum Cina. Jika kaum Pribumi terlibat di dalam pembangunan hartanah, bahan mentah adalah dari pembekal kaum Cina, kontraktor banyak dari kaum Cina dan marketing juga dari orang Cina kerana mereka dapat menarik ramai pembeli yang berkemampuan. Sektor kewangan juga dipelopori oleh orang Cina. Lihat sahaja bos - bos besar di bank di sektor hartanah, mereka bukan terdiri dari kaum Pribumi. Pola permainan kaum
Pribumi di dalam bidang ini tidak besar. Mereka tidak menguasai kesemua ekosistem. Boleh bilang sebelah jari syarikat pemaju Pribumi. Jadi dalam bidang-bidang di atas, kaum Cina mendapat manfaat yang menyeluruh.

11.Kemakmuran Bersama Wawasan 2030 adalah masa yang tepat bagi kaum Pribumi menyertai kekayaan dalam
bidang terkini. Kita majoritinya kaum Pribumi telah bersedia dari segi pendidikan dan pendedahan. Wawasan dahulu seperti ‘suka IT’ , Cyberjaya , MIMOS dan banyak lagi telah berjaya melahirkan pakar di dalam industri IT. Majoriti mereka adalah kaum Pribumi. Cuma kekurangan kita adalah tidak agresif di dalam marketing . Kita boleh belajar lagi jika mahu.

12.Revolusi industri 4.0 tidak memerlukan seseorang itu menyediakan dana besar seperti bidang pembangunan hartanah . Kita hanya perlukan modal insan, internet, kreativiti dan idea untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia. Jika berjaya menyenangkan kehidupan manusia, maka perniagaan itu akan mendapat sambutan.

13.Grab tidak mengeluarkan jutaan ringgit untuk membeli kenderaan, tetapi mereka mempunyai pemandu terbanyak di rantau ini. Menyediakan peluang kerja dan memudahkan orang ramai untuk bergerak.

14.FoodPanda tidak mempunyai restoran langsung, tetapi semua restoran memerlukan Food Panda yang mempunyai ratusan ribu pelanggan untuk memesan makanan secara online.

15.AirBnB tidak mempunyai hotel atau rumah penginapan. Namun mereka membuka peluang pada pemilik hartanah untuk menyewakan kediaman mereka dengan harga yang lebih murah berbanding hotel , ini disukai oleh pengembara.

16.Vivi Yusof dan suaminya di FashionValet tidak memerlukan gudang-gudang besar untuk ratusan ribu pelanggan mereka membeli pakaian, hanya letak di portal online mereka . Semua jenama di dalam satu ‘bumbung’ .

17.BestPay-eMoney mempunyai penyelesaian digital untuk pembayaran, memindahkan wang melalui aplikasi, membayar semua bil dengan menggunakan hanya satu aplikasi atau kad tunggal. Malah boleh menghantar transaksi wang ke semua negara di seluruh dunia. Jadi pengguna tidak perlu mempunyai banyak kad bank di dalam dompet mereka. Sama ada satu aplikasi di telefon atau kad tunggal untuk melakukan semua berkaitan dengan pemindahan wang dan pembayaran.

18.Ini adalah 5 contoh mudah di negara kita. Syarikat-syarikat tersebut bernilai RM berbillion ringgit. Apakah modal mereka ? Internet, idea, kreativiti dan pemasaran yang agresif .

19.Anak muda Pribumi adalah kreatif. Inilah masa dan peluangnya. Banyak lagi idea yang menarik yang boleh diusahakan. Nak buka bank, mustahil untuk mendapat modal dalam masa singkat, tetapi kita boleh bangunkan e-wallet . Pembayaran digital kini menjadi trend dan akan menjadi keperluan pada masa hadapan. Tiada siapa lagi akan membawa tunai. Bank Negara juga akan henti cop wang di masa hadapan, semua dalam bentuk digital paparan skrin sahaja transaksi perniagaan, ini sedang berlaku dengan pantas. Tidak boleh elak.

20.Antara idea lain adalah seperti platform penghantaran dan menerima servis dobi, mengemas rumah, menyiapkan kertas kerja, mekanik kereta, smart clinic, smart parking, penjagaan rambut, mikro kredit, dan banyak lagi. Semuanya untuk kemudahan kehidupan orang ramai dan banyak lagi yang akan menjadikan perniagaan jutaan ringgit, tetapi dengan hanya bermodalkan ‘otak’ dan usaha penyelesaian masalah, kita mampu laksanakannya.

21.Golongan Pribumi tidak memerlukan pembekal di dalam industri ini. Tidak memerlukan modal jutaan ringgit dari bank yang memerlukan cagaran. Tidak memerlukan kepakaran dan pengalaman projek sebelumnya . Hanya perlu mencari apa masalah manusia yang boleh dibantu, merangka harga yang mampu milik bagi majoriti pengguna dan kerajinan pemasaran.

22.Akan muncul ramai jutawan baru di dalam Revolusi Teknologi 4.0 ini. Kita percaya di antaranya ramai dari kaum Pribumi.

InsyaAllah.

Razz

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru