March 3, 2019

PH di bawah Tun M masih Harapan Rakyat

1. Pembangkang masih berjaya memainkan isu perkauman. Taktik yang sama semasa mereka memerintah dahulu. Orang Melayu sememangnya mudah dipengaruhi jika agama dan bangsa mereka diperkotak katikkan. Isu ekonomi , rasuah dan pembangunan sudah tidak penting lagi. Emosi menguasai kepentingan lain. Tetapi itulah kita orang Melayu majoritinya.

2. DAP sememangnya beban kepada Pakatan Harapan terutamanya parti yang mewakili suara Melayu Bumiputra seperti PPBM. PKR pula adalah parti majmuk. Semenyih adalah pertembungan UMNO PAS vs PPBM . Tun Mahathir di dalam dilema. PPBM adalah parti kecil dalam kategori ‘kemenangan pilihanraya’. DAP menguasai. Keceluparan Menteri Perpaduan, PH tidak dapat berbuat apa-apa. Perdana Menteri berdiri di atas kaki yang nyata. Partinya, PPBM tidak majoriti, kerana itu beliau bersungguh-sungguh inginkan 2/3 di parlimen. Namun kini pastinya ramai wakil rakyat UMNO ingin bertaut kepada UMNO lagi kerana kemenangan BN ini.

3. Menteri yang tidak berpengalaman, ada yang terlalu muda dan ada yang terlalu lama di kem pembangkang juga merupakan liabiliti kepada kerajaan. Tun Mahathir sendiri pernah disembur di matanya ketika di airport, namun beliau tidak memperbesarkan dan tidak mengambil tindakan polis. Ketua Pemuda PH tersilap percaturan untuk membuat laporan polis. Pihak pembangkang mempergunakan isu tersebut berhabis-habisan. Sosial media menjadi bukti betapa Syed Saddiq ditempelak berhabis-habisan. Pasukan keselamatan , bomba rata-rata tidak berpuas hati akan keceluparan Menteri Perpaduan. Lihatlah undi mereka, undi pos undi awal memihak kepada pembangkang. Dahulu kita bangkang dan ingin hapuskan AES, kini Tony Loke ingin menambah AES. Ini adalah suatu ‘kebodohan politik’ yang nyata. Adakah terlalu yakin bongkak sama seperti BN dahulu. Tidak mahu dengar rintihan rakyat kerana pilihanraya umum masih lama lagi ?

4. PH tiada jentera propaganda. Terutamanya di sosial media . Sebelum pilihanraya 14, paratroopers media sosial PH adalah rakyat secara sukarela. Selepas kemenangan, rakyat penat, ingin lihat perubahan sahaja . Media-media PH tidak diketengahkan. Malah ada yang ditegah dan dimusnahkan. Media-media yang menyokong PH tidak langsung mendapat tempat untuk menyebarkan propaganda PH sendiri. Mereka-mereka yang baru memegang jawatan bagaikan lupa jasa-jasa media yang menyokong mereka sewaktu sebelum menang pilihanraya umum lalu. PH lupa bahawa pembangkang kini adalah pembangkang yang kaya-raya, 60 tahun memerintah dahulu. Saki-baki mereka masih kuat dan masih ramai di jabatan-jabatan kerajaan .

5. PPBM belum mempunyai pemimpin yang dikenali dan berkaliber. Jangan diambil kira PKR dan DAP. Semenyih adalah perlawanan UMNO PAS vs PPBM . Pemimpin-pemimpin PPBM semuanya atas lantikan. Belum melalui proses pemilihan lagi. Bermaksud belum ada saringan untuk memastikan bahawa pemimpin atasan mereka adakah mempunyai sokongan kuat akar umbi. Pemimpin PPBM juga terpalit dengan isu sijil pendidikan palsu. Sekali lagi ia mencalar imej yang ingin di bawa Perdana Menteri iaitu berintegriti.

6. Majoriti rakyat Malaysia tidak mahu zaman Najib UMNO kembali. Semenyih adalah protes mereka. Protes akar umbi. Protes daripada mereka yang terawal berjuang bersama parti. Tiada yang salah. Ia semua pelajaran . Tun Mahathir Perdana Menteri kita pernah berpesan “Kejayaan itu tidak datang bergolek, kita kena terhantuk beberapa kali di dinding, beberapa kali barulah dinding itu akan pecah, atau mungkin kepala kita yang pecah. Tetapi saya tidak percaya kepada PUTUS ASA”

Tun Mahathir contoh sumber kekuatan.

Razrul Anwar Rusli
Timb. Ketua Bahagian Johor Bahru

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru