July 21, 2019

Perubahan Yang Menyeluruh #SASU

1. Mesyuarat Agung Khas yang berlangsung semalam 20hb Julai telah selesai. Syukur kerana acara berjalan baik. Tahniah buat pihak pentadbiran pusat dan yang terlibat lain di dalam mengatur majlis dengan baik. Dari lokasi, pendaftaran dan masa, semua baik.

2. Ucapan Tan Sri Muhyiddin, Presiden kita, seperti biasa, peranan seorang ayah kepada kita semua. Nasihat beliau supaya bersetuju dengan semua pindaan ini. Bapa sememangnya tidak mahu akan pergaduhan, perbalahan dan perpecahan. Presiden sememangnya dikenali seorang yang tenang, walaupun kadangkala ia mengancam kedudukannya sendiri.

3. Negarawan yang disanjung, Perdana Menteri kita, Pengerusi kita.... kita khuatir, selepas beliau, siapalah lagi yang akan sering mengingatkan kita pada sejarah. Diulang-ulang supaya terpahat di minda kita. Beliau hidup dari zaman penjajahan British, Jepun hinggalah kita mampu membuat bangunan berkembar tertinggi di dunia.

4. Peringatan penting pada kita ialah, parti yang menang tidak semestinya kekal. Contoh UMNO di mana pemimpin atasan yang dipilih mereka melakukan kemungkaran dan tidak mahu mendengar keluhan akar umbi. Tun Mahathir juga memberi contoh dari negara lain seperti Pakistan . Parti di sana yang memperjuangkan kemerdekaan, tetapi apabila mereka menang, ada kuasa itu mengasyikkan hingga terlupa perjuangan, mementingkan kuasa kebendaan, kini tiada lagi parti itu kerana rakyat menolak mereka hingga tersungkur.

Berani, tugas berat Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk mengubah perlembagaan bagi sesuai dengan arus semasa

5. Amanat Tun Mahathir itu bukan hanya ditujukan kepada akar umbi, Bahagian, Cawangan, tetapi ia ditujukan juga kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu keseluruhannya. Janganlah beranggapan bahawa ia hanya ditujukan kepada cawangan, bahagian dan ahli-ahli biasa .

6. Kegagalan organisasi atau perniagaan untuk menjadi kuat dan memperoleh untung adalah kerana barisan top management tidak berfungsi dengan cemerlang. Barulah kita boleh salahkan anak buah yang mengikut arahan sahaja. Lihat ketua 1MDB dan konco-konconya yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan dan GLC. Mereka berjaya merosakkan legasi 60 tahun UMNO dengan kelemahan kepimpinannya mengenal pasti kesilapan diri. Kita boleh belajar dari sejarah itu. Jangan hanya mahukan orang lain berubah, tetapi kita tidak sanggup untuk melakukan perubahan kerana takut atau selesa.

7. Juga kita dapati dari perhimpunan semalam, ramai yang tidak pernah membaca perlembagaan pun. Apabila usul berkenaan ahli bersekutu ingin dipinda dengan hanya mengubah ayat sahaja, para perwakilan baru sedar bahawa Ahli Bersekutu boleh dilantik di jawatankuasa khas. Maka bertempiklah semua yang baru tahu adanya perlembagaan itu. Mereka tidak setuju bukan kerana tidak mahu ditukar ayat itu, tetapi tidak bersetuju langsung untuk bukan Pribumi berada di dalam parti ini. Biar khusus untuk kaum Pribumi sahaja.

8. Begitu juga dengan isu SASU ( Satu Ahli Satu Undi) untuk pemilihan parti yang semakin hampir. Ada beberapa perwakilan yang berani bersuara. Namun majoriti perwakilan masih reserved dan memendam. Walaupun mereka tidak berpuas hati. Mereka diam. Budaya Melayu.

9. SASU tidak menyeluruh seperti yang diharapkan . Kita mahukan SASU dari semua peringkat. Tak apalah biarkan dahulu Pengerusi, Presiden dan Timbalan Presiden tidak diusik ketika ini, kerana tanpa pengorbanan besar mereka meninggalkan jawatan dahulu, mungkin Najib masih berkuasa. Sekaranglah masanya yang paling sesuai untuk kuatkan parti selepas kemenangan di pilihanraya. Kita mahukan juga badan pimpinan tertinggi Bersatu turut di SASU kan. Alasan belum bersedia untuk keseluruhan membuat SASU serentak dilihat cuba untuk memperbodohkan ahli-ahli. Jika belum bersedia, jangan jadikan akar umbi bahan uji kaji. Biar semua bersedia, SASU serentak dari atas ke bawah.

Wan Saiful, ketokohan terserlah apabila mencadangkan pemotongan gaji Menteri bagi membantu akar umbi. Memberi solution, bukan cakap-cakap.

10. Tanya kembali kenapa kita menang kerusi yang paling sedikit di Parlimen ? Adakah itu salah Bahagian dan Cawangan semata-mata ? Kenapa Bersatu gagal menarik ramai ahli ? Adakah itu salah di lokaliti semata-mata (di Bahagian dan cawangan) . Kenapa seluruh Malaysia Bahagian-bahagian dan cawangan menaikkan isu kewangan untuk pentadbiran mereka ? Di mana bantuan pimpinan tertinggi ? Jangan ketepikan suara mereka yang bergolok gadai dari sebelum pilihanraya lagi. Kenapa isu-isu pentadbiran seperti ahli, kad, ROS masih lintang-pukang ? Adakah ia salah Bahagian dan Cawangan juga ? ... dan banyak lagi dari segi kepimpinan dan isu-isu nasional yang dilihat akar umbi, pemimpin tertinggi sangat lemah hingga musuh nampak DAP lebih dominan. Jangan bersembunyi di belakang beban Pengerusi. Jangan semuanya beliau yang perlu selesaikan. Jangan asyik-asyik berselindung atas nama Tun Mahathir. Bersatu perlukan pemimpin yang kuat dan membawa kemajuan. Atas kita semua seluruh ahli Bersatu untuk melakukan perubahan kebaikan ini.

11. SASU terbaik jika kita ingin singkir sistem perwakilan. Tetapi janganlah jadikan ia SASU terpilih. SASU harus untuk semua peringkat. Barulah penambahbaikan yang menyeluruh. Jangan jadi seperti ketam, ajar anak jalan terus, tetapi diri sendiri jalan serong.

12. Lihat contoh UMNO, bagaimana segelintir mereka yang berkepentingan mempertahankan kelemahan pemimpin tertinggi mereka, akhirnya mereka lemah dan kalah. Jangan jadikan Bersatu ikut budaya UMNO untuk lindungi kepentingan pemimpin tertinggi. Jangan pula jadikan pandangan ini dan suara yang tidak senada dengan pemimpin tertinggi sebagai ingin melawan yang di atas.

13. Jangan kita menafikan hak sumbangan semua orang di dalam parti . Atas ke bawah semua menyumbang hingga kini. Yang setuju dan tak bersetuju dengan kita juga menyumbang kepada parti. Jadi biar atas sampai bawah kita adil, kita berubah, dan boleh memilih untuk menguatkan parti . InsyaAllah .

#SASU untuk semua

Bersatu Selamanya

Razrul Anwar Rusli
-Timbalan Ketua Bahagian Johor Bahru

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru