July 17, 2019

PERMAINAN BIAR ADIL : SAMA PADANG, SAMA BELALANG.

20HB julai 2019 adalah tarikh penentuan. Tarikh ini akan menentukan sama ada bagi pemilihan akan datang, BERSATU akan membuat sistem satu ahli satu undi(SASU) atau undian tradisional melalui perwakilan. Ura-ura atau rumors kita mendengar bahawa SASU hanya akan dijalankan bagi peringkat bahagian dan kebawah TETAPI di peringkat Majlis Pemimpin Tertinggi (MPT) akan menggunakan sistem pewakilan. Namun semua ini akan ditentukan di Mesyuarat Agong Luar Biasa 20hb nanti.

Jika ini berlaku, maka logik nya akan menjadi mudah:
Yang senang akan terus senang lenang diatas, yang susah akan terus sama susah dibawah. Sekiranya ini namanya adil, mari kita nilai adil atau tidak.

Bermula zaman BERSATU atau dulu PPBM sebagai pembangkang, kita semua sama level. Kita semua SAMA. Cuma perbezaannya hanyalah kita dipecahkan kepada tiga kelompok. Kelompok pertama adalah ahli biasa yang masuk setelah tertubuhnya BERSATU dan bersama-sama mengikut dalam perjuangan BERSATU sehingga turun mengundi pada PRU 14.


Bagi Kelompok 2, mereka adalah para Ketua-ketua Bahagian yang bersama Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz dalam memulakan Bersatu dari akar umbi. Segala gerak kerja dari bawah dimulakan oleh mereka. Yang teroka tanah mereka, yang tebas lalang mereka, yang cangkul tanah mereka, yang letak benih mereka, yang tabur baja mereka, yang siram pokok mereka dan yang pastikan pokok besar juga adalah mereka. Mereka adalah pejuang sedari awal penubuhan BERSATU dan bergadai semua benda hanya untuk parti dan mereka amat dikenali dikalangan masyarakat khususnya di negeri masing masing.
Kelompok terakhir adalah orang yang lebih berpengaruh dan ada di antara mereka pernah berjawatan di peringkat nasional dan dilantik menjadi MPT dalam BERSATU sehingga kini.


Tapi harus ingat, sebelum pemilihan rasmi, 2 kelompok ATAS ini hanyalah LANTIKAN sahaja. Ia bukan penentu kita bagus atau pun tidak bagus. Maka, bagaimana nak tentukan siapa bagus?

Jawapan: Pemilihan BERSATU

Antara KB - KB dan MPT, masing masing ada kekuatan TETAPI kalau dinilai dari gerak kerja dan diwaktu getir, pastinya KB yang memainkan peranan yang lebih penting. Dalam penyusunan parti di setiap negeri, KB adalah tonggak utama dalam merancang strategi berperang kerana ini wilayah mereka hidup dan mati. Cuma, mungkin para KB - KB ini bukanlah calon popular di peringkat nasional dan akhirnya menerusi lantikkan, nama mereka tidak sampai diatas tetapi masih sedia berperang di bawahan walau tidak mendapat apa-apa habuan. Yang penting selamatkan negara dari regim kleptokrasi rasuah.

Tidak bertujuan menuding habuan diatas lebih lumayan, tetapi krisis kewangan para KB-KB di peringkat negeri amatlah kritikal. Bermula sebelum PRU, semua harta benda dan kudrat telah digadaikan bagi mencapai matlamat parti untuk menang.


Sehinggalah kita menang. Tanpa bantuan modal, tanpa dilihat dari atasan, kerja terus dilakukan dan sudah pastinya seperti hujan, air dikandung banyak mana pun pasti habis dan hujan pasti akan berhenti. Itu nasib para KB-KB di semua negeri.

MPT pun melalui fasa yang sama, Cuma padang mereka sedikit berbeza. Berbakti hanya dikawasan tertentu pada masa tertentu. Saya faham sumbangan MPT pun amatlah besar kerana saya percaya lantikan ini bukan lantikan semberono. Ia dari Presiden dan Pengerusi yang bijaksana.

Sebab itu saya lebih cenderung kepada SASU. Kerana, apabila KB-KB di setiap bahagian diuji untuk menjaga seluruh ahli dibahagian, kenapa MPT hanya diuji oleh sebahagian kecil ahli-ahli melalui perwakilan ? Kerana itu, ia akan menimbulkan 2 masalah;

  1. Ahli tak kenal MPT, Ahli tak kenal EXCO
  2. Dominasi individu melalui politik wang akan terus berlaku.

Umum ketahui, Politik Wang pasti akan berlaku sekiranya sistem perwakilan ini diteruskan kerana pasti calon MPT tak perlu menjaga semua ahli, PILIH saja yang boleh di labur, CONFIRM undi. Ini MASALAH dalam sistem Perwakilan. Tak turun ke kawasan, tak mengapa. Tak beramah mesra dengan ahli, tak mengapa. Tak dikenali oleh semua ahli, tak mengapa. Janji ada yang ikut dari beberapa kelompok. Maka dengan cara ini MPT akan kekal relevan sebagai MPT.

Satu Ahli Satu Undi ini perkara bagus. Harus amat di sokong. Cuma saya lahir di peringkat bahagian. Saya tahu perit jerih di peringkat bahagian. Sambil ingin menjaga hati semua orang, ditikam dari belakang, dicanang segala keburukkan dek kerana sesetengah sahaja yang tidak berpuas hati, ini semua ujian di peringkat bahagian dan Ketua Bahagian adalah tunggak kepada semua perkara ini.


Seandainya KB, Antara individu yang paling awal didalam penubuhan, individu yang paling dekat dengan pucuk pimpinan, individu yang paling kenal “grassroot”, mereka terpaksa berdepan dengan SASU. Tak salah juga bagi sekalian MPT diatas sana turut di ‘SASU’ kan.

Di padang yang sama, belalang yang sama. Baru kita tahu adakah individu itu layak atau pun tidak. Kalau sebelum ini hanya KB - KB di bahagian sahaja yang terasa “gentar” akan SASU, pasti MPT diatas juga gentar kerana mereka terpaksa mendekati setiap dari ahli bagi mendapatkan undi. Baru ahli kenal, bukan buat-buat kenal.

EGM kali ini pasti menjadi medan dan ini pasti menjadi perkara hangat di semua bahagian. Kita jelaskan sampai terang, kita terang kan yang kelam, kita rai semua ahli, kita sanjung semua MPT, itu cara nya kita bersatu hati kerana saya yakin BERSATU adalah parti yang mengangkat setiap ahli dan telah menyelamatkan negara .

Selamat Bersidang Buat Semua Di EGM 2019.

Bersatu Selamanya

-Razrul Anwar Rusli-
Timbalan Ketua Bahagian Johor Bahru

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru