December 28, 2018

PAT : Perkasakan Penguasaan Hartanah Kaum Pribumi

1. Perhimpunan Agung Tahunan yang ke-2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PAT) pada hujung minggu ini akan menjadi perhatian arena politik negara. Ini kerana pada kali ini, PPBM adalah parti kerajaan, bukan lagi pembangkang. PPBM juga dilihat sebagai ketua di dalam Pakatan Harapan kerana Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohammad adalah Pengerusi kepada PPBM dan Perdana Menteri kini.

2. Sepanjang hampir setahun PPBM dan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, ramai sedar bahawa lebih mudah untuk menjadi pembangkang daripada menjadi kerajaan. Dari isu manifesto yang tidak tertunai, isu kaum, pendidikan, agama, ekonomi dan taraf hidup, PPBM dianalisa oleh rakyat terutamanya golongan kaum pribumi professional di dalam memperjuangkan nasib mereka.

3. Rakyat pribumi di dalam golongan professional ataupun golongan pertengahan mengharapkan isu seperti pemilikan hartanah, ekonomi, perniagaan, peluang pekerjaan, matawang, kos rumah dan juga pemilikan bangunan komersial diberikan perhatian oleh kerajaan baharu untuk mambantu kaum pribumi memiliki aset yang munasabah walaupun masih belum dapat menguasai sepenuhnya di sektor ini.

4. Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), hartanah yang tidak terjual kini di Malaysia meningkat ke angka 48%, dari 20,304 unit ke 30,115 sekarang. Ia berdasarkan kajian apabila 9 bulan hartanah itu tidak terjual apabila siap dibina. Majoriti hartanah yang tidak terjual adalah dari segmen lingkungan harga RM500,000 ke RM1 juta , melebihi 12,000 unit. Ini disebabkan oleh pemaju yang tamak, juga harga-harga ini yang dianggap normal di bandar-bandar Malaysia seolah-olah semuanya ‘berdekatan’ dengan KLCC. Inilah yang menjadi dilema bagi ramai golongan professional-professional Pribumi yang bekerja mencari nafkah membina kehidupan, menyara keluarga, merancang masa hadapan dan juga bagi golongan pribumi yang baru untuk menapak di dalam mendirikan perniagaan untuk bersaing dengan bangsa maju yang lebih kaya dari mereka. Namun agak sukar bagi mereka kerana kos hidup dan kos pemilikan aset yang tinggi yang tidak menyamai dengan gaji atau sumber pendapatan dan ditambah pula nilai matawang yang rendah, pastinya rumah idaman belum mampu dimiliki apatah lagi pemilikan bangunan perniagaan dan komersial. Ya, dengan mudah kita boleh boleh menyuruh mereka menyewa di pinggir bandar, tempat yang jauh lebih murah, namun hakikatnya sewa di sana juga adalah sama seperti membayar pinjaman di bank dan ianya juga tidak murah. Kegiatan ekonomi di pinggiran juga amat kurang berbanding di bandar besar. kaum pribumi lambat untuk berkembang. Lebih baik membeli dari menyewa. Kebanyakan ‘landlord’ atau tuan tanah, tuan bangunan dan tuan empunya rumah di Malaysia ini majoritinya adalah bangsa Cina. Jangan katakan kediaman, ruang pejabat juga dikuasai oleh bangsa Cina.

5. Ini bukan perkauman, tetapi kenyataan untuk semua rakyat Malaysia dan kerajaan harus memberi tumpuan akan hal ini. Agihan kekayaan di dalam sektor pemilikan hartanah harus dititikberatkan dan perlu dijaga terutamanya supaya kaum pribumi dapat memilikinya dengan sihat tanpa menyekat hak-hak bangsa lain. Bukan lagi dimonopoli oleh suatu kaum sahaja yang jauh lebih maju yang mana mereka telah turun – temurun bertapak di bandar. Satu mekanisme harus dipermudahkan supaya kaum pribumi dapat memiliki hartanah. Bukan lagi kaedah ‘politik sedap didengar’ iaitu Rumah Mampu Milik. Ia tidak mampu menjana kekayaan dan kekuatan ekonomi kaum pribumi. Ia hanya sekadar bantuan untuk meneruskan kehidupan yang selesa. Ya, kita bersyukur ada sebilangan kecil yang mendapat faedah ini. Tetapi kaum pribumi professional masih lagi terhimpit berkenaan isu rumah kerana tiada pembelaan kepada mereka untuk memiliki aset di tempat yang strategik untuk mereka bekerja atau berniaga. Program rumah mampu milik bukan untuk meningkatkan taraf hidup. Ianya sekadar untuk membantu golongan yang memerlukan untuk memberi kesempurnaan asas. Gologan pribumi professional harus dibantu untuk meningkatkan taraf kemajuan hidup. Bukan lagi untuk dibantu untuk hanya meneruskan hidup.

6. Johor, negeri yang majoritinya Melayu dan diketuai oleh PPBM sebagai kerajaan kini, mempunyai servis apartment dan SOHO (Small Office Home Office) yang tidak terjual tertinggi di Malaysia. Rekod ini meningkat pada tahun 2018 dan nilai yang tidak terjual dianggarkan bernilai RM6.16 billion. Kerajaan BN terdahulu membina rumah-rumah ini tanpa kaji selidik. Kita tahu bahawa kebanyakan keluarga dari kaum pribumi terutamanya orang-orang Melayu tidak gemar akan rumah seperti kondominium atau apartment. Bukan itu sahaja, harga-harga rumah tidak terjual di Johor ini bukannya murah, ia mahal seperti berdekatan KLCC. Ini tidak termasuk dengan hartanah seperti pejabat, kompleks komersial yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM27.38 billion, menurut JPPH. Kepada siapa yang ingin kita pasarkan ini ? Orang dari seberang tambak negara kita ? Di mana duduknya golongan professional pribumi lepasan universiti di Johor ? Adakah mereka mampu membeli rumah yang berharga RM400,000 ke atas selepas graduan dan bekerja ? Mekanisme penyelesaian akan perkara ini harus dijadikan agenda utama kerajaan supaya tidak terlewat. Apabila hampir Pilihanraya 15 nanti, dikhuatiri ia akan digunakan pula oleh pembangkang untuk ‘menghentam’ semula isu yang sama pada PH, di mana PH gunakan terhadap mereka dahulu.

7. Segmen hartanah untuk kaum Pribumi, iaitu diskaun 7% juga pihak pemaju-pemaju mempunyai masalah untuk menjualnya. Bangsa dari bukan kaum pribumi di Malaysia tidak mempunyai masalah untuk membeli dan biasanya kuota hartanah mereka yang habis dahulu. Kekuatan kewangan mereka datangnya dari keluarga, persatuan dan rekod simpanan bank yang cemerlang dari zaman nenek moyang mereka. Mudah untuk membiayai hartanah. Mereka juga pemaju di dalam sektor ini. Kaum pribumi ? Kaum pribumi adalah pengguna. Tiada kuasa ekonomi di sini. Kitaran kewangan tiada, hanya membayar. Jadi tiada langsung hasil kekayaan pusingan ekonomi yang terjana di dalam pembangunan hartanah bagi kaum pribumi.

8. Di Persidangan tahunan PPBM ini , sebagai professional Melayu, profesional-profesional pribumi dan golongan pertengahan, kita berharap kerajaan yang diketuai oleh PPBM dapat memperkenalkan suatu mekanisme yang terbaik bagi meningkatkan penguasaan hartanah kaum pribumi di Malaysia. Di dalam bandar, bukan di pinggiran bandar, bukan di kawasan baru yang baru mahu ‘ditebang pokok’. Kerajaan wajib membantu golongan professional pribumi di mana majoriti mereka adalah golongan pertengahan. Ini akan membantu kaum pribumi meningkatkan taraf hidup dan kekayaan mereka, bukan sekadar bantuan meneruskan hidup. Harus diingat bahawa golongan professional inilah yang paling banyak mengundi, menyokong wang ringgit dan tenaga untuk Pakatan Harapan / PPBM semasa Pilihanraya 14 yang lalu berbanding kaum pribumi luar bandar. Jangan dilupakan golongan professional dan golongan pertengahan kaum pribumi ini terhadap himpitan hidup ‘miskin bandar’ mereka.

9. Antara cadangan-cadangan yang boleh diketengahkan dan dikaji oleh kerajaan yang disarankan oleh golongan-golongan professional ialah :

Pemaju

Kerajaan kini diminta lebih mesra dan percaya kepada kemampuan pemaju-pemaju pribumi. Melalui GLC (Government Link Company), pemaju pribumi dapat menggunakan sumber kekuatan kewangan yang berbillion ringgit dan rangkaian antarabangsa untuk memperkasakan sektor pembinaan hartanah mereka dan mempromosikan profil syarikat mereka. Sebagai contoh, lihat bagaimana syarikat pemaju SP Setia, yang merupakan syarikat asasnya dimiliki oleh bangsa Cina Malaysia, tetapi boleh dan dibantu oleh KWSP di dalam membangunkan hartanah mereka hingga menjadi salah satu pemaju yang besar dan terulung di Malaysia. Bukan itu sahaja mereka mampu mengembangkan sayap hingga ke Asia dan ke Eropah di mana sumber kewangan KWSP yang begitu besar, wang rakyat Malaysia, mampu membiayai projek mega seperti Bayswater di United Kingdom. Alangkah lebih baik jika kita, kerajaan Malaysia kini, yang diketuai oleh kaum pribumi, yang mana GLC pun diketuai oleh kaum pribumi, mampu memberikan kepercayaan dan membantu pemaju-pemaju pribumi untuk mendapat peluang yang sedemikin rupa. Namun kita lebih suka mengharap pada ‘orang yang selain bangsa kita’. Ini adalah budaya yang perlu kita ubah. Percayalah kepada kemampuan bangsa kita sendiri.

Pinjaman

Di dalam sektor pinjaman perbankan, kerajaan harus memperkenalkan mekanisme baru bersama bank untuk membezakan kaedah memberi pinjaman untuk kaum pribumi dan kaum-kaum yang lebih maju dan kaya lain. Di sini, pakar-pakar ekonomi pribumi yang terbukti harus dipanggil bersama untuk duduk semeja dan mengeluarkan idea serta kaedah yang terbaik untuk memudahkan pembiayaan sektor hartanah kepada kaum pribumi, sama ada di dalam pembinaan atau pemilikan hartanah. Ini kerana jurang kekayaan dan pendapatan adalah jauh berbeza di antara kaum di Malaysia. Jadi menyamakan cara kelulusan untuk memperoleh pinjaman hartanah atau pembangunan hartanah yang sedang diguna pakai kini, bermaksud hanya suatu golongan yang kaya sahaja yang mampu mendapat pinjaman dan faedah ini. Seperti yang kita ketahui, bank-bank besar di Malaysia termasuklah Maybank, Ambank dan CIMB, yang merupakan sebahagian pemilikanya adalah kerajaan (Khazanah Nasional), sektor hartanah pinjaman dan pembiayaan semuanya dikuasai dan diuruskan oleh bangsa Cina. Majoriti yang mengawal pasaran ini adalah bangsa Cina. Rangkaian ini menguatkan lagi cengkaman ekonomi oleh mereka di dalam sektor hartanah. Tidak perlu lagilah kita sebut bank-bank seperti Public Bank dan Hong Leong Bank, di mana peruncitan hartanah mereka adalah yang terbesar sekali di Malaysia. Jadi apabila bahagian pinjaman untuk kaum pribumi mempunyai segmen mereka sendiri untuk dikaji, diluluskan, dan diuruskan oleh golongan kaum pribumi sendiri yang mana ciri-ciri kelulusan adalah berbeza berbanding bangsa-bangsa kaya, lebih fleksibel, maka kita percaya lebih ramai kaum pribumi yang layak dapat memasuki sektor hartanah ini. Sektor perbankan pinjaman dan pembiayaan agak kurang mesra kepada kaum pribumi, sama ada peminjam atau pemaju (peniaga). Seperti pilih kasih. Ini adalah luahan ramai di antara kita. Untuk menyatakan fakta akan perkara ini, tiada statistik, namun keluhan-keluhan ini sering didengari. Ini mungkin kerana rekod pembayaran sesetangah peminjam pribumi yang tidak baik, lalu terpalit juga pada mereka yang layak. Ini adalah ‘stereotype’ bangsa. Namun apabila diperkenalkan dengan mekanisma istimewa khusus kepada golongan pribumi seperti rendah duit pembayaran permulaan, faedah rendah tetapi panjang tahun pinjaman, pinjaman berkumpulan, jaminan kerajaan kepada syarikat-syarikat pemaju pribumi yang layak dan banyak lagi idea yang boleh digariskan, kaum pribumi dapat meningkatkan tahap aktif mereka di sektor hartanah. Kerajaan baru di bawah PPBM dan PH haruslah melihat akan perkara ini jika benar-benar ingin meningkatkan taraf hidup golongan pribumi. Apabila semua bangsa makmur, maka makin rancaklah pendapat negara dan kekayaan semua kaum.

Rangkaian Kerjasama

Kerajaan wajib membantu pemaju-pemaju pribumi untuk menguatkan ‘networking’ perniagaan mereka melalui hubungan antara negara – negara. Kerajaan harus mempelawa syarikat pemaju pribumi untuk bertemu dan mengadakan MOU bersama pemaju atau jenama-jenama antarabangsa. Seabgai contoh kita lihat akan keupayaan Berjaya Group di bawah Tan Sri Vincent Tan, bekerjasama dengan jenama seperti Ritz Carlton, Four Season di dalam projek-projek hartanah mereka. Nama besar dan berprestij ini akan melipat gandakan nilai hartanah tersebut. Dengan pengaruh kerajaan yang ingin melihat pemaju pribumi berjaya, kita yakin perkara ini dapat dilaksanakan dengan insentif-insentif tertentu bagi kedua-dua pihak . Semua perlu akui bahawa kaum pribumi tidak mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat seperti bangsa Cina. Tamadun Cina nenek moyang mereka telah menjelajah dunia beribu tahun. Bangsa Melayu atau pribumi lebih kepada ‘reserve culture’. Jadi peranan Kerajaan untuk membawa dan mempromosi pemaju-pemaju pribumi ini keluar, dan mempromosikan mereka serta memberi dedahan kepada peringkat antarabangsa adalah amat penting bagi mengimbangi kualiti pembangunan hartanah pribumi. Ini amat memerlukan ‘political will’ yang kuat dari kerajaan dan pimpinan PPBM jika benar-benar ingin memajukan bangsa pribumi di dalam sektor ini.

Jenis pembangunan

Menggalakkan lebih banyak dan menggariskan panduan konsep pembangunan bercirikan kekeluargaan dan keislaman. Jangan salah faham keislaman dengan reka bentuk Arab. Maksud di sini adalah bersesuaian dengan ciri-ciri timur dan pribumi (Kemelayuan). Kita faham bahawa mungkin harga tanah adalah mahal, jadi pembinaan kondominium atau apartment adalah lebih bersesuaian. Kondominium dan apartment ini hendaklah wajib mempunyai masjid, dewan serba guna, atau balai raya, padang permianan atau laman yang luas dan sebagainya. Maka lebih ramai kaum pribumi berminat untuk membeli dan menetap di bandar utama tanpa menghakis budaya kejiranan yang tinggi di dalam masyarakat. Kini di bandar utama rekaannya lebih kepada ciri-ciri yang tidak mesra akan penduduk pribumi seperti tiada surau, tiada laman, tiada balai raya atau dewan untuk kemasyarakatan. Budaya individualistik dan ‘privacy’ hingga tidak bergaul ini dipupuk oleh corak pembangunan pemaju-pemaju yang bukan pribumi. Lihat contoh pembangunan di Putrajaya, orang-orang Melayu selesa dan suka akan konsep rumah apartment yang dibangunkan. Tanah yang luas, kawasan permainan, surau yang luas dan kawasan yang luas. Kaum pribumi cintakan kekeluargaan, sekarang kita mempunyai kuasa, dasar ke arah memelihara budaya ini disamping kemajuan harus digarispanduan dengan jelas dan tegas.

Dana Kumpulan Awam Hartanah Pribumi

Baru-baru ini, MyFundHome diperkenalkan kepada umum kaedah pemilikan rumah baharu dan Perdana Menteri dijemput untuk merasmikannya. Ia merupakan kumpulan dana awam atas inisiatif Pengerusi The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong yang ingin membantu kerajaan PH melaksanakan skim mampu milik. Disokong oleh beberapa pemaju ternama dan bank-bank tempatan. Kelemahan skim ini adalah ia lebih memperkukuhkan pegangan hartanah bukan pribumi . Deposit yang tinggi 20% dan hanya 5 tahun pegangan sebelum menjual, ia terdedah kepada spekulasi dan monopoli golongan kaya. Kerajaan boleh mewujudkan dana awam baru yang juga disokong oleh bank-bank tempatan dan pemaju-pemaju tempatan. Namun kriteria hendaklah mengikut kemampuan golongan pribumi yang layak dan mengelak spekulasi hartanah dari golongan-golongan pemain hartanah. Sebagai contoh, 5% wang permulaan dan tempoh ikatan tidak boleh menjual adalah 10 tahun atau 15 tahun. Dengan ini untuk jangka masa panjang, pembeli dan bank serta pemaju yang turut serta dalam ‘crowd funding’ ini akan sama-sama memperoleh hasil. Sama ada pembeli itu mendapat hartanah tersebut atau pengurus dana seperti pemaju dan bank mendapat nilai hartanah yang lebih baik di dalam tempoh 10 tahun dan ke atas.

Raja-raja, ketua-ketua kerajaan dan majlis perbandaran.

Majoriti tanah-tanah di negara ini juga tertakluk di bawah raja-raja melayu dan kerajaan negeri. Kita berharap raja-raja melayu lebih suka bersahabat, membuka peluang dan menjana perniagaan bersama rakyat pribumi (jika raja-raja ini turut serta di dalam perniagaan). Rakyat maklum yang raja-raja gemar memiliki sahabat-sahabat yang berbangsa bukan pribumi. Tidak perlu kita nyatakan di sini, ahli-ahli perniagaan biasanya arif berkenaan perkara ini akan ‘shareholder-shareholder’ syarikat bukan pribumi. Ya mungkin senang dan lebih mudah untuk berniagaan atau melakukan perkara peribadi mereka. Mungkin juga ‘stereotype’ bahawa kaum pribumi hanya bekerja untuk melayan dan menjadi pekerja sahaja. Jadi kita menyeru raja-raja melayu, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daerah di era kerajaan baru ini supaya lebih menolong dan memberi sedikit ‘favourite’ kepada kaum pribumi. Buka lebih sedikit peluang untuk mereka. Bukan mencuri hak bangsa lain.

10. Kesimpulannya, di era kerajaan baru yang di ketuai oleh PPBM, jangan kita ulangi apa yang BN lakukan. Mereka gagal memajukan kaum pribumi. Aset-aset negara dan kekayaan hartanah negara tidak dikuasai oleh kaum pribumi. Perjuangan untuk bangsa melayu, bumiputera adalah retorik semata-mata. Pemimpin BN hanya mementingkan perniagaan mereka, bersama-sama dengan bangsa bukan pribumi mengaut semua kekayaan bagi diri mereka sahaja. Rakyat tidak akan benarkan UMNO / BN 2.0 berkuasa. Rakyat berani menolak kerajaan yang tidak baik kini. PPBM harus menjuarai akan perkara ini. Jangan sampai kita terlopong suatu hari nanti semua hartanah milik orang lain termasuk di kampung-kampung yang kini sudah mula dimasuki pemaju-pemaju bukan pribumi. Akhirnya orang melayu dan kaum pribumi akan kembali ke dalam ‘hutan’.

11. Kerajaan PH yang diketuai PPBM harus membuang pemikiran dan kaedah hanya sekadar untuk bantuan subsidi, membantu meneruskan hidup semata-mata. Tetapi perancangan itu hendaklah lebih kepada meningkatkan taraf hidup yang sebenar, taraf kekayaan dan taraf penguasaan ekonomi negara oleh kaum pribumi. Ini yang Perdana Menteri Tun mahathir perjuangkan dari tahun 1981, namun beliau tidak mampu melakukan seorang diri. Kita harus bersama beliau untuk berganding bahu menjuarai akan hal ini.

12. Jangan di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke dua ini hanya isu-isu seperti UMNO sahaja dibangkitkan seperti ketuanan bangsa, retorik siapa lebih kuat di dalam PH dan perkara-perkara lain yang sama dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dahulu, tetapi PAT ini haruslah lebih kepada agenda memperkuatkan kaum pribumi. Jika kita kaum pribumi hanya kuat di atas suratkhabar dan media online dengan kata-kata, jawatan-jawatan politik, semangat ketuanan semata-mata, jatuh-menjatuh yang tidak pernah habis, maka kita tidak ubah seperti PAU. Hakikat sebenar mereka yang berjuang adalah di luar sana, bangsa lain, yang sedang bersungguh-sungguh bekerja kuat untuk memajukan ekonomi dan kekayaan mereka dan jauh lebih maju berbanding kaum pribumi,. PAT kali ini kita akan menyaksikan kualiti kepimpinan PPBM yang mana semuanya masih berstatus penaja (tanpa pemilihan) ini di dalam meningkat taraf hidup sebenar golongan pribumi, terutamanya golongan professional yang amat tertekan kini.

13. Kepimpinan dan ahli-ahli PPBM bersama PH telah membuktikan bahawa mereka mampu menumbangkan kerajaan dan mengambil hati rakyat untuk menumbangkan BN. Sekarang pula adalah masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa PPBM mempunyai dasar dan usaha untuk mengkayakan kaum pribumi. Gunakan pentas PAT dengan cemerlang buat semua perwakilan. Selamat bersidang !

Miskin bandar, kaya di kampung

Razrul Anwar Rusli
President of Malaysian Professional Associations
Timbalan Ketua Bahagian PPBM Johor Bahru

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru