May 18, 2019

Kuota bumiputera bukan alasan rumah tidak terjual

BARU-BARU ini terdapat kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak industri harta tanah yang menyatakan keadaan yang serius lot rumah tidak terjual di Johor adalah disebabkan polisi kerajaan mengenai kuota lot bumiputera untuk semua projek perumahan di Malaysia.

rumah-2

Walaubagaimanapun tiada statistik mahupun data untuk menyokong hipotesis tersebut. Adakah benar rumah tidak terjual di Johor mahupun negeri-negeri lain di Malaysia adalah disebabkan polisi kerajaan kerana memberi kuota bumiputera dalam setiap projek perumahan?

Hasil pemerhatian mengenai corak penjualan rumah sejak tahun 2011 menunjukkan bahawa pasaran harta tanah kediaman menunjukkan peningkatan hasil daripada permintaan yang meningkat.

Maka pemaju harta tanah mula mengambil peluang ini untuk memulakan projek harta tanah kediaman yang berharga RM500,000 ke atas. Oleh kerana projek pembangunan harta tanah mengambil masa sekitar tiga hingga empat tahun, maka terjadi permintaan yang berlebihan pada tahun 2014 terutama bagi rumah yang berharga RM500,000 ke atas.

Pada tahun 2016 bilangan rumah yang tidak terjual meningkat dengan mendadak. Ini adalah kerana pemaju harta tanah cenderung untuk membina rumah yang berharga sekitar harga tersebut. Rumah yang tidak terjual dalam lingkungan harga RM250,000 – RM500,000 juga meningkat dengan mendadak pada tahun 2016.

Pada tahun 2017, jurang untuk harga rumah tidak terjual bagi lingkungan harga RM250,000 hingga RM500,000 semakin melebar. Walaubagaimanapun pada tahun 2017, harga rumah di bawah RM250,000, peratusan dilihat semakin mengecil dan menunjukkan permintaan rakyat untuk rumah harga jenis ini adalah tinggi. Pemaju seharusnya mengambil peluang untuk menyediakan rumah dibawah paras harga RM250,000 bagi memenuhi kemampuan pembeli.

rumah-1

Namun adakah rumah tidak terjual ini berpunca dari dasar kuota bumiputera oleh pihak kerajaan? Hasil analisis menunjukkan bahawa peratusan rumah kuota bumiputera yang tidak terjual khususnya di Johor hanya menunjukkan perbezaan peratusan yang kecil iaitu hanya 11.2 peratus. Manakala di beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah, peratusan penjualan lot selain bumiputera adalah lebih tinggi berbanding lot bumiputera.

Namun tidak dinafikan beberapa negeri lain seperti negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis, rumah yang diperuntukkan untuk bumiputera menunjukkan peratusan tidak terjual yang tinggi.

Untuk menyatakan polisi kerajaan yang dipraktiskan sekian lama bagi memberi kuota bumiputera adalah punca kenaikan peratusan rumah tidak tepat sama sekali. Hasil analisis menyokong dapatan ini jelas menunjukkan peratusan rumah tidak terjual bagi lot bumiputera adalah agak hampir sama untuk lot selain Bumiputera. Masalah sebenar isu rumah tidak terjual adalah disebabkan pemaju harta tanah yang meletakkan harga di luar kemampuan purata pendapatan rakyat Malaysia.

Pihak kerajaan seharusnya meneruskan dasar yang mewajibkan kuota Bumiputera bagi setiap projek perumahan yang dibina di Malaysia agar dapat membantu golongan Bumiputera memiliki kediaman sendiri.

Penghapusan dasar ini dikhuatiri akan menyebabkan golongan bumiputera terus ketinggalan dalam pegangan harta tanah di Malaysia.

Kenyataan bahawa kuota bumiputera ini menjadi penyebab lambakan penawaran harta tanah kediaman adalah tidak berasas.

— Dr. Muhammad Najib Razali Mohamad Muzzammil Zekri 
Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia

— Sr. Siti Hafsah Zulkarnain 
Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru