read in Eglish March 25, 2020

CoronaVirus - Siapa yang nak kita harapkan?

Sekarang adalah masanya untuk berkorban nafsu. Nafsu keluar, nafsu makan, nafsu bermain lepak bersama rakan taulan, keluarga dan banyak lagi perkara yang selalu kita lakukan, kita terpaksa terhadkan, mengawalnya akibat wabak virus ini.

Kita jangan mengambil tidak peduli wabak ini. Sama ada ia disensaikan satu dunia, itu terpulang pada penerimaan masing-masing. Ada yang membuat teori ini dilakukan oleh kerajaan China atas tindak balas menyekat perdagangan mereka dengan Amerika Syarikat. Sekarang pentadbiran Donald Trump paling terkesan. peluang pekerjaan musnah yang cuba dibawa kembali olehnya. Syarikat mega mereka yang ingin dibawa balik semula dari luar negara ke Amerika Syarikat ditangguh. Kini China telah selamat kerana kawalan mereka lebih awal.

Virus ini sangat mudah dijangkit dan telah membunuh ramai mangsa. Sama seperti wabak lain seperi ebola, H1N1. Walaupun majoriti adalah mereka yang tua, yang mempunyai rekod sakit dan mempunyai imun sistem yang lemah, ia tidak harus membuat kita alpa. Cuci diri selalu, kerap mandi dan pastikan tiada interaksi dengan orang lain adalah perkara terbaik buat waktu ini

Namun kita semua telah penat mendengar semua ini. Kita perlu hidup, mencari wang dan bersemuka. Aktiviti politik dan perniagaan amat memerlukan kita untuk bergerak dan berjumpa. Kerajaan kita juga memilih untuk mengawal pergerakkan rakyat. Kita terpaksa ikut. Ini disebabkan tiada alternatif lain lagi untuk kita bendung wabak ini.

Sejarah manusia membuktikan, kita akan berjaya mengatasi dan keluar dari cabaran ini. Segala macam wabak penyakit yang membunuh ramai manusia, dari dahulu lagi, termasuk perang-perang dunia, dan kemelesetan ekonomi yang teruk, manusia berjaya bangun semula dan menjadi semakin maju ke hadapan. Semuanya akan baik-baik, hanya masa sahaja menentukan bila.

Perkara merunsingkan komuniti peniaga seperti saya adalah akan ada lebih 80% syarikat kecil dan sederhana pasti gulong tikar dan tidak akan berupaya kembali beroperasi semula jika kerajaan tidak berjaya membendung masalah ini dengan lebih holistik atau menyeluruh. Syarikat-syarikat mega korporat, mereka akan kekal. Ini kerana bank-bank dan kerajaan teguh bersama mereka. SME (small medium enterprise), industri kecil, peniaga harian, peniaga pasar malam, peniaga pasar tani, pemilik kedai runcit, pemilik kedai cuci kereta, pengusaha kedai tom yam, pengusaha kedai memancing, pengusaha kedai dobi, peniaga di arked-arked MARA, wedding planner , anak-anak seni di belakang tabir, pusat-pusat rekreasi dan banyak lagi industri yang ramai orang Melayu terlibat, pasti akan menerima impak kewangan besar dan meruncing buat pemilik dan pekerja mereka. Mereka tiada KWSP dan SOCSO. Mungkin ada yang simpan ditempat lain. Mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais malam makan malam.

Kerajaan harus peka. Pasukan kerajaan yang membuat keputusan di waktu ini harus terdiri dari saintis, pakar perubatan, pakar ekonomi, ahli perniagaan kecil dan sederhana, ketua kontraktor-kontraktor kecil Melayu dan banyak penglibatan dari wakil-wakil industri orang Melayu. Ini yang sebenar harus diberi perhatian. Pemilik runcit Cina, mereka telah dijaga oleh tuan tanah premis mereka. Lihat Sunway Mall memberi pengecualian dalam membayar sewa kepada premis mall yang kebanyakannya orang Cina. Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu tidak akan mampu 'survive' lebih dari 14 April 2020. Ekonomi harus berjalan segera. Tidak boleh terlalu lama disekat. Apa yang dirasai rakyat tidak sama seperti para menteri. Mereka masih menerima semua elaun, kenderaan dan pekerja tetap tersedia, gaji penuh dan bebas bergerak ke sana ke mari. Tidak sama dengan rakyat yang di rumah sahaja. Rakyat juga terbantut punca pendapatan. Jika berterusan, saya percaya rakyat akan terpaksa untuk tidak mematuhi kawalan pergerakkan ini. Diharap komen ini dapat dikaji dengan mendalam oleh semua menteri untuk mereka bekerja lebih keras. Saya syorkan potong gaji sebulan buat semua menteri, timbalan menteri, ahli parlimen dan ADUN. Berkorban bersama rakyat. Walaupun kini selesa kerana tiada kritikan isu pada ahli-ahli politik atau kritikan kepada kerajaan, tiada kata 'complaint' dan serangan dari pembangkang, namun para menteri jangan berada di dalam zon selesa. Rakyat terkurung. Rakyat tidak selesa. Bantuan dan sumbangan tidak akan memenuhi keperluan golongan peniaga. Pendekatan harus holistik dan perlu segera dicapai dari pakar-pakar yang sebenar, bukan ahli politik semata-mata.


Yang terbaru kerajaan memotong gaji menteri kabinet dan timbalan menteri . Untuk bersama rakyat merasai pengorbanan.

Kita sebagai rakyat biasa, apa yang patut dilakukan kini. Mudah, kita wajib tidur 8 jam sehari minima untuk pastikan imun sistem kita kuat. Jangan tidur lewat malam dan bangun jauh selepas subuh, kerana badan tidak akan sihat. Bersenam 20 minit di rumah, minum air masak dengan banyak.

Jangan terlalu 'main' sosial media. Banyak perkara negatif dari positif. Baca terjemahan AlQuran, ikuti kursus-kursus peningkatan bidang masing-masing. Banyak ada di YouTube secara percuma. Sangat bermanfaat.

Bagi yang telah berniaga, kini masanya untuk lebih rapat dengan pelanggan. Hubungi mereka, telefon, sms , call. Semua aktiviti kita harus 'outflow' , bukan 'inflow' . Jika kita asyik menerima informasi tanpa aktif, maka kita akan jadi tidak bermaya, panik, jadi negatif dan runsing. Kita perlu berfungsi dan 'contribute' pada dunia kita. Bukan menerima semata-mata. Jangan biar keadaan mengawal kita, tetapi kita yang mengawal keadaan itu.

Belajar dari sejarah manusia, membaca atau lihat di YouTube. Manusia berjaya menghadapi semua cabaran yang dahsyat. Kita perlu terima kini bahawa dunia sedang menekan butang 'RESTART', macam komputer. Selepas ini akan kembali segar dan laju. Di waktu itu adakah kita bersedia untuk maju atau baru bangun terpinga-pinga dari tidur untuk mencari arah ? Inilah peluang untuk kita maju ke hadapan. InsyaAllah.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah: 5-6)

Razz
Komuniti Peniaga.

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru