read in Eglish February 1, 2020

'Control & Order' masih lagi terbaik bagi negara dunia ke 3

China merupakan sebuah negara yang tidak termasuk dalam list negara yang akan saya lawati. Mungkin kerana menganggap ia sama sahaja budayanya seperti rakyat Malaysia berbangsa Cina di sini. Sama juga dengan Singapura, sememangnya negara yang tidak minat untuk dilawati. Saya lebih menyukai negara maju. Barat. Juga Parsi dan Turki bagi sejarahnya .

Bulan Disember saya berpeluang ke China. Beijing dan Quanzhou. Semua dibiayai oleh kerajaan China . Mereka ingin merapatkan hubungan dengan kerajaan yang baru. Juga mempromosikan budaya, kefahaman, perniagaan dan pemerintahan negara mereka.

Beijing merupakan bandar 'megapolitan'. Ia meniru apa yang dikatakan maju di Barat pada dekad lalu iaitu dengan banyaknya bangunan pencakar langit seperti di Amerika Syarikat dan juga kenderaan - kenderaan 'continental' dari Jerman banyak sekali di jalan raya. Tidak seperti negara maju barat kini, yang tidak lagi mengejar pencakar langit . Barat kini lebih fokus kepada alam hijau dengan kenderaan awam dan berbasikal. China, Arab, dua bahagian dunia ini berlumba-lumba membina pencakar langit untuk menunjukkan kemajuan negara mereka. Juga berlumba-lumba membeli kenderaan mewah barat untuk menunjukkan prestij diri.

Golongan pekerja di Beijing nampak professional. Mereka memakai suit & tie ke pejabat. Bandarnya juga bersih. Mereka tidak mengkritik kerajaan mereka. Atau saya tidak menemui orang yang berani mengkritik. Tidak seperti di Malaysia, sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan pasti akan menjadi bahan cemuhan sama ada dari rakyat biasa atau bijak pandai. Semua orang menjadi pandai jika bab-bab mengkritik kerajaan . Ini tidak berlaku di China. Mungkin mereka takut atau mereka telah disaring untuk pro kerajaan jika ingin bekerja. Menteri kita yang baik dicemuh dengan sentimen. Menteri kita yang rasuah dijunjung semula. Itulah mentaliti negara dunia ke 3.

Di sebalik kemajuan material yang boleh dilihat oleh mata kasar di Beijing, sayangnya mentaliti mereka masih merupakan mentaliti negara mundur . Di restoran , tandasnya tidak di 'flush'. Meninggalkan najis manusia setelah selesai melakukan 'urusan'. Tandasnya busuk . Jika kita ingin melihat budaya dan mentaliti sesuatu bangsa, lihatlah tandas awamnya . China lebih teruk dari Malaysia berkenaan hal ini. Negara barat seperti Amerika Syarikat dan Australia, lebih bersih akan tandas mereka. Wabak virus terbaru Novel Coronavirus bermula di China . Segala makhluk di atas muka bumi mereka makan . Tikus, anjing , kucing , ular , monyet, biawak dan banyak lagi menjadi hidangan eksotik mereka yang membawa penyakit . Bersyukur kita dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam.

China yang dikatakan pro komunis itu sebenarnya menyukai barat. Memiliki apa yang barat miliki adalah lambang kejayaan bagi rakyat China . Tesla, Audi, BMW adalah jenama kenderaan yang paling banyak di Beijing . Kenderaan nasional mereka seperti Geely adalah sedikit. Hanya orang Malaysia terutamanya berbangsa Cina amat suka Proton Geely sehingga jualannya melonjak tinggi. Di China, hanya golongan bawahan yang menggunakan kenderaan ini. Saya juga banyak berbual dengan pegawai kedutaan China yang menguruskan saya di sana. Impian mereka adalah untuk bekerja dan berhijrah ke Amerika Syarikat. Jika negara mereka adalah terbaik, kenapa ingin berhijrah ?

China jika dibandingkan dengan Jepun atau Korea amat jauh berbeza semangat patriotik mereka. Kesimpulan yang boleh dibuat, rakyat Korea dan Jepun berbangga dengan rela hati, manakala sebenarnya rakyat China didoktrin untuk berbangga dengan kerajaan dan negara mereka. Rakyat Jepun memandu kenderaan buatan mereka sendiri. Mereka bangga. Negara barat juga memandu kenderaan Jepun dan Korea. Belum ada lagi negara Barat yang memandu Geely buatan China, sama ada di Australia , Eropah atau Amerika Syarikat.

Kerajaan China mengamalkan sistem komunis mengikut ala China - menurut pegawai kedutaan yang menguruskan saya. Mereka memasukkan demokrasi seperti memilih ketua bandar. Namun diperingkat negara seperti sidang parlimen di negara kita, mereka tidak mempunyai pembangkang. Hanya kerajaan. Mereka berbincang sesama mereka sendiri. China merupakan sebuah negara seperti syarikat keluarga . Mempunyai tunai yang kaya kerana semuanya milik kerajaan. Semuanya ditentukan oleh barisan pemimpin teratas . Setakat ini kita melihat pemimpin mereka melakukan pentadbiran yang baik walaupun dituduh kejam dan kuku besi. Sejarah mereka juga merekodkan betapa kejamnya revolusi China . Anda boleh Google 1989 Tiananmen Square protes. Pelajar ditembak rambang kerana berdemonstrasi membantah kerajaan . Syukur ini tidak pernah berlaku di Malaysia. Ini juga tidak diceritakan pada lawatan kami. Di Barat, mereka telus jika menceritakan sejarah kezaliman raja-raja mereka dahulu. Ini bezanya negara maju dan negara dunia ke 3 seperti China . Ketelusan.

Bagi negara yang mempunyai berbillion penduduk, saya berpendapat bahawa inilah cara terbaik untuk mereka mentadbir dan mengawal rakyatnya. Di mana taraf pendidikan rakyat rendah, jika banyak ruang pendapat dan kebebasan bersuara diberi, pasti huru hara jadinya. Saya pasti jika kawalan kerajaan tidak ketat di negara China, mereka tidak akan berkembang baik sehingga hari ini.

Konglomerat mereka yang berkembang pesat diperingkat global seperti Alibaba yang saya lawati, disokong kuat oleh parti komunis. Board director dan CEO mereka semua merupakan ahli parti. Satu pujian sahaja yang ingin saya beri, tiada seorang pun lembaga pengarah mereka yang perut buncit. Faktor pemakanan sup, kurang garam dan gula serta minum green tea.

Apa yang dilihat di China bagi saya adalah sama seperti Singapura . Tidak perlu kita kategorikan apa sistem pemerintahan negara mereka ini. Bagi orang biasa seperti saya yang berniaga, kita dapat lihat bahawa kerajaan mereka berjaya mengawal kesemua hal pemerintahan dan perniagaan negara. Negara kita juga pernah lalui fasa ini di zaman kemakmuran Tun Mahathir di era 80an, 90an.

Tiada sosial media di China, ia dikawal kerajaan . Di Singapura akta hasutan sebaran perkara palsu diketatkan. Sewaktu era Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu juga tiada sosial media seperti sekarang. Kemakmuran pesat. Projek mega rancak. Pertumbuhan KDNK tinggi. Kini menteri pun takut untuk melakukan visi. Semua dicemuh. Budak 14 tahun juga boleh komen politik maki hamun di sosial media sekarang. Namun di negara China dan Singapura, anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengkritik kerajaan di facebook dan platform sosial media yang lain.

Rasuah di China , yang bersalah akan ditembak, termasuk keluarganya. Di Singapura mereka memberikan gaji Menteri yang termahal di dunia untuk mengelak rasuah. Menteri mereka wajib mempunyai sijil Universiti yang terbaik di dunia, bukan gred cukup makan. Tetapi di Malaysia, menteri-menteri pun menggunakan sijil palsu, datuk palsu. Jawatan tertinggi parti pun diketuai oleh pemilik sijil palsu. Bagaimana kita ingin telus dan maju ? Di negara kita, perasuah disanjung semula oleh rakyat. Hanya dengan mainan persepsi dan hasutan , kesalahan lalu dilupakan. Dilupakan kerana termakan hasutan . Malaysia mudah lupa.

Di China mereka hanya mempunyai satu parti komunis dan hanya dari parti ini sahaja akan dilantik menjadi Presiden . Di Singapura hanya parti PAP sahaja berkuasa dari dahulu sejak Singapura dihalau keluar dari Malaysia oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. Kini Perdana Menteri Singapura adalah anak kepada Perdana Menteri Singapura yang pertama . Di Malaysia kita telah menumbangkan parti kerajaan yang memerintah sejak 60 tahun. Di akhir 20 tahun BN, mereka menjadi terlalu berkuasa dan korup sehingga menyusahkan rakyat dan mereka ditolak rakyat dengan aman. Diganti dengan kerajaan PH. Namun seperti rakyat negara dunia ke 3 , seperti Mesir, kini rakyat Malaysia mudah berpaling semula kepada yang merosakkan negara.

Dua negara ini iaitu China dan Singapura berkembang pantas dan melabur di semua negara-negara miskin di bawah mereka melalui agensi-agensi dan syarikat GLC kerajaan mereka yang kaya. Di Asia, saya percaya kepada kerajaan yang mesti sedikit kuku besi. Tetapi akan malang bagi rakyat sesebuah negara dunia ke 3 itu jika pemerintahan kuku besi itu memudaratkan. Adalah baik bagi negara itu jika pemerintahan kuku besi itu baik seperti Singapura dan China.

Barat berbeza. Budaya mereka dan taraf pendidikan moden mereka tinggi. Berdekad lalu mereka telah mendahului dunia dengan revolusi perindustrian dan mereka juga yang menjadi pelopor industri A.I (Artificial Intelligent) dan dunia digital . Kita di Asia kini masih mengikut barat . Kebebasan dalam memilih kerajaan dan bersuara dengan penuh tanggungjawab Barat adalah sangat berbeza dengan Asia terutamanya negara dunia ke 3 . Kita lebih kepada emosi dari akal manakala Barat mengikut pertimbangan dan intelektual.

Jadi kesimpulan untuk negara kita, kerajaan mesti menjadi kuat dan dominan. Komponen kerajaan perlu bersatu antara satu sama lain. Bukan menjadi popular atau menurut kehendak majoriti yang emosi. Tidak perlu memberi kebebasan yang melampau kepada pembangkang atau rakyat. Tidak perlu mengikut budaya feudal yang lama, tetapi budaya menghormati perlembagaan. Kita dipimpin oleh kerajaan yang bersih kini. SPR juga bebas jika rakyat ingin menukar kerajaan .

Peliharalah pemimpin kini. Tiada yang sempurna, namun ada yang lebih baik di antaranya. Jika China boleh maju dengan penguasaan 'control & order' , Malaysia juga perlu, kerana majoriti rakyat negara kita masih meletakkan emosi melebihi akal.

Wawasan 2030 kemakmuran bersama adalah halantuju kita. Di tahun 2030 juga saya ingin lebih berjaya dan bersara, untuk lebih masa berbakti kepada masyarakat dan negara. InsyaAllah.

Razz
Bersatu Selamanya

HUBUNGI SAYA

Alamat: No. 14-01, Jalan Langkasuka, Sri Anugerah, Larkin, 80350 Johor Bahru